DUA penunggang motosikal cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) di Jambatan Kedua Pulau Pinang, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Ahad.
Berdasarkan hantaran yang dimuat naik di Facebook Penang Kini, kemalangan melibatkan dua buah motosikal itu dikatakan berlaku selepas kenderaan dua roda itu merempuh belakang kereta 4x4 di lokasi kejadian.
Menerusi video yang dikongsikan oleh orang awam melalui aplikasi WhatsApp pula, kedua-dua mangsa yang cedera dilihat terbaring di atas jalan sambil diawasi oleh pihak berkuasa.
Video sama turut memaparkan keadaan mangsa yang dipenuhi dengan darah dan kedua-dua motosikalnya yang masih berada di belakang kereta berkenaan.
Manakala, keadaan belakang kereta terbabit dilihat hanya mengalami kerosakan kecil akibat daripada impak pelanggaran tersebut.
Namun, mengikut informasi yang turut dikongsikan orang awam, punca kejadian didakwa berlaku disebabkan mangsa yang tidak menggunakan lorong motosikal ketika itu.
"Lorong motor situ lebih luas lagi dari lorong motor highway Jelutong tapi tak nak guna. Ngeri kecederaannya.. semoga dipermudahkan," kata Eddy Jaegerjaquez.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 2.04 petang.
"Pasukan Bomba daripada BBP Bayan Baru serta bantuan BBP Batu Kawan telah digerakkan ke lokasi kejadian diketuai oleh PBK II Muhammad Syahir bin Jamaludin selaku Komander Operasi.
"Setelah tiba di lokasi, didapati kemalangan tersebut melibatkan dua buah motosikal jenis Yamaha LC dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger," katanya.
Pada masa sama, kemalangan tersebut telah menyebabkan seorang lelaki berusia 21 tahun yang menunggang salah sebuah motosikal itu tersepit di kaki kerana dihempap motosikal miliknya.
Sejurus itu, pihaknya dilaporkan bertindak menjalankan operasi untuk menyelamatkan mangsa sebelum di bawa ke hospital dengan menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 21 tahun turut mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital menaiki ambulans.
"Manakala, pemandu Ford Ranger tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram