TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkongsi pengalaman cemas dihadapinya selepas percubaan pesawat dinaikinya untuk mendarat gagal.
Lebih mengejutkan, insiden kegagalan percubaan pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan itu berlaku sebanyak tiga kali.
Situasi terbabit menyebabkan penerbangan pada Sabtu itu terpaksa berpatah balik semula ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor.
"Pengalaman menakutkan buat kami apabila tiga kali pesawat kami tidak berjaya mendarat di Kota Bharu, Kelantan.
"Pilot memaklumkan pesawat tidak boleh mendarat kerana angin terlampau kuat dan hujan..." tulisnya dalam satu perkongsian di TikTok.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Dalam rakaman video dikongsikan itu, satu pengumuman oleh kru kapal turut didengar yang memaklumkan mengenai situasi dihadapi penerbangan tersebut.
"Fuel is minimal, so we have to fly back to Subang (Bahan api kini berada di paras minimal, kita perlu terbang semula ke Subang," ujar pengumuman tersebut.
Dalam pada itu, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong memaklumkan penerbangan berkenaan kemudiannya sudah selamat mendarat di LTSAAS, Subang, Selangor.
"Alhamdulillah. Terima kasih kepada pilot kerana selamat mendarat di Airport Subang, Terima kasih Allah atas dugaan yang kami terima. Sudah semestinya ada hikmah di sebalik semua itu," ujarnya.
Sebelum itu, Noraini yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi itu dilaporkan turut berkongsikan pengalaman menakutkan dialaminya itu melalui hantaran di Facebooknya.
Menurut beliau, pesawat itu dipercayai berpusing beberapa kali sehingga mencetuskan perasaan cemas terhadap penumpang.
“Berpusing-pusing kapal (terbang). Semua perasaan ada. Nak menangis ada, nak muntah ada, nak buang air ada...yang pasti amat menakutkan.
"...Tak pernah (saya) lalui pengalaman menakutkan seperti ini," tulisnya.
Difahamkan, beliau yang juga Pengerusi Pihak Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melakukan perjalanan tersebut kerana mahu menghadiri program agensi tersebut di Kelantan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram