SEORANG kanak-kanak warga Thailand ditemukan lemas di kawasan paya berdekatan Taman Rantau Baru di Rantau Panjang, Kelantan pukul 2.20 petang pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Shapawi Stapa dilaporkan berkata, sepasukan anggota BBP itu digerakkan ke lokasi sejurus menerima laporan pukul 12.22 tengah hari berhubung kejadian melibatkan mangsa, Firdaus Mohd Faisal yang berusia satu tahun tiga bulan.
"Mangsa ditemukan pada pukul 2.20 petang oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) yang melakukan pencarian di kawasan mangsa dilaporkan hilang.
Pihak bomba ketika menemukan mangsa di lokasi kejadian. — Bomba Rantau Panjang
"Jenazah mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas," katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Nabilah Che Muda, 21, dilaporkan berkata, ketika kejadian, dia membawa anaknya ke kedai milik saudaranya dengan tujuan membantu membasuh kedai terbabit selepas dimasuki air beberapa hari lalu.
Katanya, anaknya itu sentiasa diawasi, namun dengan sekelip mata sahaja mangsa hilang daripada pandangan.
"Saya terus bergegas cari di kawasan sekeliling sebelum ternampak tangan bayinya itu terkapai-kapai dalam air.
"Saya cuba membantu dengan menghulurkan tangan untuk menarik anak saya namun dia mula tenggelam dan hilang.
"Saya kemudian memanggil sepupu untuk membantu, namun tetap tidak berjaya," katanya.
Ia lebih meruntun jiwa apabila mangsa dikatakan merupakan satu-satunya cahaya mata Nabilah dan suami.
Pada masa sama, dia mengatakan bahawa tetap reda walaupun masih terkejut ketika jasad anaknya ditemui. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram