[VIDEO] Polis Serdang nafi rompakan, siasat perselisihan faham suami isteri


  • 112
  • Selasa, 19 Dis 2023

Tangkap layar CCTV memaparkan kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor pada 13 Disember lepas.

POLIS menafikan dakwaan berlakunya kes rompakan dan pecah masuk sebuah rumah di Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor pada 13 Disember lepas.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu mula tular di media sosial sejak Isnin.

Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, berlaku sedikit perselisihan faham antara suami isteri ketika itu dan pihaknya juga telah menerima laporan daripada kedua-dua pihak.

"Berlaku sedikit selisih faham antara mereka berdua. Kes masih dalam siasatan," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, seorang lelaki bernama Balaram Rajratnam mendakwa, rumahnya dimasuki sekumpulan penyamun dan membuat rompakan secara terbuka.

Balaram yang turut membuat laporan polis mendakwa, sekumpulan penyamun yang terdiri daripada 11 orang itu diketuai oleh bekas pengurus bank dan bapanya.

Dakwanya lagi, kira-kira RM20,000 berjaya dibawa lari, banyak barang yang diambil seperti Apple Airpod Pro, ketuhar gelombang mikro, loket emas, kasut Adidas, baju Prada, sofa dan beberapa peralatan dapur mewah ketika kejadian.

Bagaimanapun, A.A. Anbalagan menafikan dakwaan tersebut dan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram