[VIDEO] Pencuri licik godam sistem rompak kedai emas, siap buat lubang dari premis sebelah


  • Benua
  • Khamis, 07 Dis 2023

Tangkap layar kejadian perompak mencuri kedai emas yang terjadi di Miami-Dade, Amerika Syarikat pada Isnin.

DUA lelaki ditahan atas beberapa kesalahan selain merompak kedai emas dalam kejadian di Miami-Dade, Florida, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.

Pada awal kejadian rompakan, rakaman kamera litar tertutup kedai emas itu menunjukkan suspek menebuk lubang pada premis berdekatan dan menggodam sistem keselamatan untuk membolehkan mereka masuk ke dalam kedai emas itu.

"Nampaknya mereka membawa peranti untuk memotong isyarat," kata Adrianna Prieto, pemilik kedai emas itu.

Adrianna berkata, perompak kemudiannya menggeledah ruang kedai emas dan menyasarkan peti besi yang menyimpan barang berharga bernilai kira-kira AS$1 juta (RM4.5 juta).

Turut dilihat, perompak membawa peralatan seperti cangkuk dan kabel keluli daripada trak tunda yang dicuri untuk membuka peti besi itu.

Selang beberapa minit, pelaku dilihat menarik keluar peti besi itu sebelum memecut keluar daripada kawasan berkenaan.

Pemilik sebenar trak tunda itu yang secara kebetulan memasang alat penjejak sistem kedudukan global (GPS) membolehkan dia mengesan kenderaan tersebut berada di sebuah gudang di Hialeah Gardens.

Dia terus bertindak melaporkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya yang mana pihak berkuasa menyerbu gudang tersebut dan menahan dua daripda empat suspek yang diburu.

Suspek, Ariel Hernandez, 37 ditahan atas tuduhan pecah rumah dan kecurian manakala seorang lagi suspek, Michel Avila Delanuez didakwa atas tuduhan yang sama tetapi kini dirawat di Hospital Besar Palmetto.

Dua lagi suspek kini masih lagi dalam buruan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram