[VIDEO] Tiga penjenayah pakai hoodie disyaki rompak 11 kedai dalam satu malam, pihak berwajib tawar RM 46,725 untuk tangkap suspek


  • Benua
  • Isnin, 18 Dis 2023

Tangkap layar kejadian rompakan di kawasan kejiranan San Diego yang terjadi pada Rabu.

ROMPAKAN bersenjata telah berlaku membabitkan hampir 20 kedai serbaneka yang dipecah masuk sejak seminggu lalu dalam kejadian di kawasan kejiranan San Diego, Amerika Syarikat.

Rakaman video yang dimuat naik menerusi media sosial merupakan satu daripada 11 kes rompakan yang berlaku pada tengah malam Rabu di kedai serbaneka kawasan berkenaan.

Rakaman menunjukkan tiga lelaki berpakaian gelap memecah masuk sebuah kedai dengan mengenakan hoodie dan memakai topeng muka.

Turut dilihat, suspek membuka peti ais untuk mengambil minuman keras selain mencuri wang yang berada di kaunter pembayaran.

Presiden The Neighborhood Market Association (NMA), Arkan Somo berkata, meskipun 17 rompakan yang terjadi sejak seminggu lalu di kawasan berkenaan belum dapat dikenalpasti pelakunya, namun penyiasat mendedahkan persamaan bagi setiap kes yang berlaku.

"Dalam setiap kes, tiga hingga lima orang memasuki kedai. Mereka sering memakai hoodie dan topeng muka. Mereka akan mencuri duit yang beada di kaunter, minuman keras dan rokok," katanya.

Somo berkata, dia tidak pernah melihat perkara seperti jenayah ini sepanjang tahun dalam perniagaan sebelum ini.

Dalam pada itu, Somo berkata, kejadian ini menimbulkan rasa takut kepada pemilik kedai dan pekerja yang berada di kawasan kejiranan San Diego.

Susulan itu, NMA yang mewakili sekitar 400 kedai di kawasan berkenaan menawarkan ganjaran $10,000 (bersamaan RM 46,725) kepada individu yang mampu membantu yang membawa kepada penahanan suspek.

Somo percaya pada penguatkuasaan undang-undang tempatan tetapi kesal kepada kerajaan negeri di San Diego atas hukuman jenayah yang ringan kerana dilihat tidak mampu mencegah jenayah sedemikian.

"Mereka (suspek) tahu ada jalan yang mudah untuk masuk dan melakukan apa sahaja. Mereka (suspek) tahu boleh mencuri sehingga $950 (RM4,438) tanpa ditangkap," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram