[VIDEO] Polis kesan individu buat kecoh, dakwa jiran bising depan rumah di Skudai


  • 112
  • Selasa, 19 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki yang memarahi seorang wanita di perkarangan rumahnya di Taman Universiti, Skudai Johor dipercayai berlaku pada 8 Disember lepas.

POLIS sedang giat mengesan seorang lelaki yang tular di media sosial sejak Selasa kerana memarahi seorang wanita di kawasan perumahan di Taman Universiti, Skudai, Johor.

Menerusi video tular itu, lelaki berkenaan memarahi seorang wanita serta mendakwa jiran di hadapan rumahnya itu membuat bising pada waktu sudah lewat malam sehingga mengganggu tidurnya.

Pada masa sama, berlakunya pertengkaran mulut dan ia berlarutan apabila seorang lelaki lain dipercayai ahli keluarga wanita terbabit yang turut hadir ketika itu.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan pukul 3.43 petang Isnin.

Hasil siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 12.30 malam pada 8 Disember lepas.

"Polis mengesan satu video tular di laman sosial mengenai pergaduhan mulut antara jiran. Pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham kerana bunyi bising sehingga menimbulkan rasa tidak senang penghuni lain.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini dimintra menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Jeffri Joni di talian 011-65141322," katanya.

Sementara itu, video tular berkenaan turut disiasat polis mengikut Seksyen 13 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram