'Kalau sekali pun tak boleh maafkan', mahkamah kekal hukuman 42 tahun penjara, bapa durjana rogol anak tiri bawah umur sebanyak 105 kali


Dalam menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Hakim Hadhariah berkata, keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 42 tahun dan 24 sebatan terhadap lelaki itu dikekalkan. — Gambar hiasan

MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya pada Rabu mengekalkan hukuman penjara 42 tahun yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadap seorang penganggur yang merogol anak tirinya bawah umur sebanyak 105 kali dalam tempoh tiga tahun.

Lelaki berusia 36 tahun itu juga diperintahkan untuk diberikan 24 sebatan.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin, yang menolak rayuan lelaki itu terhadap hukuman penjara itu.

Dalam menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Hakim Hadhariah berkata, keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 42 tahun dan 24 sebatan terhadap lelaki itu dikekalkan.

“Bapa jenis apa yang rogol anak perempuan atau anak tiri sendiri, (kalau) sekali pun kita tak boleh maafkan, apatah lagi 105 kali,” kata Hakim Hadhariah semasa prosiding rayuan sambil menambah gadis itu menderita 105 kali.

Beliau berkata, bapa sepatutnya melindungi anak-anak mereka dan tidak mencederakan mereka, dan menambah bahawa mahkamah lebih prihatin untuk melindungi kanak-kanak kecil dan gadis muda.

Menurutnya, kajian dilakukan mahkamah mendapati kes sedemikian semakin meningkat dan tidak yakin bahawa lelaki terbabit akan menyesal dengan perbuatannya.

Terdahulu, peguam, K.A. Ramu yang mewakili lelaki itu memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya akan dipenjarakan sehingga umurnya 63 tahun dan menggesa mahkamah mempertimbangkan semula menurunkan hukuman penjaranya kepada 30 tahun.

Dia juga memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya menyesal dan mahu kembali kepada masyarakat.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Dhiya Syazwani Izyan Mohd Tahir yang menyifatkan perayu sebagai 'lelaki sakit' berkata, hukuman penjara 42 tahun adalah wajar.

Beliau berkata, perayu melakukan kesalahan itu semasa ibu gadis itu bekerja.

Pada 27 Januari 2021, Mahkamah Sesyen Klang menjatuhkan hukuman penjara 1,050 tahun ke atas lelaki itu selepas dia mengaku bersalah atas 105 pertuduhan merogol gadis itu di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya Selangor.

Semasa kejadian pada 2018, gadis itu berumur 12 tahun.

Dia merogol gadis itu sebanyak 58 kali pada 2018, 35 kali pada 2019 dan 12 kali pada 2020, menjadikan jumlah pertuduhan kepada sebanyak 105.

Mahkamah Sesyen turut memerintahkan lelaki itu dikenakan 24 sebatan rotan.

Pada 7 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi Klang mengurangkan hukuman kepada 42 tahun dan mengekalkan hukuman 24 sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram