Adik 9 tahun saksi kakak tak bersekolah kena rogol 7 kawan abang di Gerik


  • 112
  • Rabu, 22 Nov 2023

Polis menahan reman semua suspek selama tujuh hari hingga Isnin depan. — Gambar hiasan

TUJUH lelaki termasuk enam adik-beradik ditahan polis selepas disyaki terlibat kejadian rogol bergilir-gilir kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Kampung Pahat Luar, Gerik, Perak.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, tangkapan terhadap suspek berusia 13 hingga 31 tahun dibuat selepas menerima laporan daripada ibu mangsa yang dibuat di Balai Polis Gerik kira-kira pukul 9.26 malam pada Isnin.

Beliau berkata, kejadian itu terbongkar apabila suri rumah berusia 36 tahun diberitahu oleh suaminya bahawa anak perempuan mereka telah dirogol.

Menurutnya, kejadian tersebut disaksikan oleh adik mangsa yang berusia sembilan tahun.

"Saksi melihat tujuh rakan kepada abangnya merogol saudara perempuan mereka itu di dalam bilik rumah jiran sebelah mereka.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 3 November lalu kira-kira pukul 2 petang. Enam suspek merupakan adik-beradik dan seorang lagi rakan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Zulkifli berkata, saksi memaklumkan dia telah melihat kejadian sama berlaku kepada kakaknya beberapa kali sebelum ini.

"Siasatan lanjut mendapati mangsa tidak pernah bersekolah. Kesemua suspek telah ditahan kira-kira pukul 1.51 pagi pada Selasa. Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek didapati negatif," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram