[VIDEO] Pemandu selisih maut, kereta dipandu terbalik sampai terkeluar enjin di Sungai Buloh


  • 112
  • Ahad, 17 Dis 2023

Tangkap layar memaparkan keadaan kereta dipandu mangsa selepas kemalangan tersebut yang berlaku Kilometer 456 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan berdekatan susur keluar Sungai Buloh, Selangor pada Sabtu.

SATU kemalangan ngeri dilaporkan berlaku melibatkan sebuah kenderaan yang dipercayai terbabas sebelum melanggar besi pembahagi jalan dan terbalik dalam kejadian pada Sabtu malam.

Difahamkan, insiden di Kilometer 456 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan berdekatan susur keluar Sungai Buloh, Selangor itu berlaku sekitar pukul 11.30 malam Sabtu.

Video yang merakamkan keadaan selepas kemalangan tersebut turut tular di media sosial.

Menerusi klip tular itu, bahagian enjin kenderaan terbabit turut terkeluar dari rangka kereta mangsa.

Akibat daripada kemalangan itu, kereta mangsa juga dilihat remuk dan berada dalam keadaan separuh terbalik di tepi jalan.

Berdasarkan video tersebut, orang awam juga dilihat berada di lokasi dan memberikan bantuan untuk pemandu terbabit yang berkemungkinan tersepit di dalam kereta.

Meskipun keadaan kenderaan tersebut dilihat cukup teruk ekoran kemalangan yang berlaku, difahamkan pemandunya terselamat dan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussein Sollehuddin Zolkifly mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Ujarnya, polis kini masih sedang dalam proses menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu termasuk mengenal pasti punca sebenar kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram