[VIDEO] Hampir jadi 'santapan' besi penghadang jalan, rider superbike tergolek atas lebuh raya dekat Pagoh


  • Tular
  • Ahad, 17 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan penunggang 'superbike' berkenaan terduduk di lorong kanan jalan selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya PLUS berdekatan Pagoh, Johor, pada Sabtu.

TINDAKAN sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi atau superbike menunggang secara laju dan melulu membawa padah selepas salah seorang daripada mereka terlibat dalam kemalangan.

Insiden yang berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Pagoh, Johor, pada Sabtu itu turut tular menerusi rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang berada di lokasi.

Menerusi klip tersebut, beberapa penunggang superbike dilihat memotong di lorong kanan dengan kelajuan yang agak tinggi.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, salah seorang daripada penunggang terbabit dipercayai terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkannya terjatuh di atas jalan.

Berdasarkan video tersebut, mangsa yang terlibat itu juga dilihat terduduk berhampiran besi pembahagi jalan di lorong kanan.

Penunggang superbike itu juga dipercayai tergolek jauh kira-kira lebih 50 meter daripada lokasi kemalangan.

Bagaimanapun, difahamkan penunggang terbabit masih hidup.

Dalam pada itu, pengguna Facebook yang berkongsikan video tersebut, Monday Junior turut berkongsikan kekesalannya terhadap sikap penunggang tersebut.

"Kejadian pagi tadi (Sabtu). Nasib kau baik bro tak jadi santapan 'guardrail' (besi penghadang jalan) itu," tulisnya.

Setakat laporan ini ditulis, pihak polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram