[VIDEO] Sekolah tutup komen Facebook selepas tular video cikgu lempang, tendang murid di Terengganu


  • Tular
  • Khamis, 14 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang guru yang mengasari muridnya di hadapan khalayak ramai di sebuah sekolah di Terengganu baru-baru ini.

SEORANG guru didakwa bertindak mengasari murid lelaki di khalayak ramai dalam satu program rasmi di sebuah sekolah rendah di Terengganu baru-baru ini.

Tindakan cikgu tersebut juga turut dirakam dan dimuat naik di media sosial oleh salah seorang guru di sekolah berkenaan ketika kejadian.

Menerusi video tular sejak Khamis, guru lelaki tersebut dilihat memarahi, melempang dan menendang kaki murid itu di hadapan kakitangan dan pelajar lain yang berada di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, pemilik video berkenaan juga memuat naik kapsyen yang berbaur kemarahan terhadap tindakan guru terbabit.

"Kamu cikgu ke Guru Besar atau Penolong Kanan, tak kisahlah siapa pun. Cuma waktu nak marah atau tegur anak murid tu biar beradab sikit.

"Aku tak pernah buat pelajar aku begitu kalau nak marah sekali pun. Buat depan orang ramai pulak tu, biar cerdik sikit wahai cikgu," tulisnya.

Pada masa sama, video itu turut menerima pelbagai kecaman dan majoritinya menggesa agar pihak sekolah mengambil tindakan tegas terhadap guru tersebut.

Salah seorang warga maya yang menggunakan akaun Twitter (X), @MALAYSIAVIRALLL mengambil kesempatan memuat naik video itu bersertakan respons balas yang menyatakan bahawa ia sesuatu yang bijak apabila tindakan tersebut dirakam.

Bukan itu sahaja, dia mengucapkan terima kasih kepada pemilik video itu dan berharap walaupun kerajaan sukar untuk memecat kakitangannya, namun guru tersebut tetap perlu dibuang.

"Ingat senang ke kerajaan nak buang staf. Ini silap hari bulan kena tukar. Sebab itu banyak staf kerajaan tak boleh pakai, macam dekat hospital, kalau staf bermasalah letak kat bahagian 'porter'. Ada staf yang tak datang kerja setahun pun masuk balik," tulisnya.

photo_6330108180679473309_x (1)

Tangkapan skrin komen yang mendakwa pihak sekolah terbabit sudah menutup ruangan komen susulan kejadian tular itu. — Facebook

Sementara itu, seorang pengguna Maslina Dhouz berkongsi satu tangkap layar sekolah yang didakwa terbabit dalam insiden tersebut.

katanya, selepas video itu tersebar, sekolah tersebut telah menutup segala ruangan komen di akaun Facebook rasmi mereka

Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak sekolah berhubung kejadian.

Dalam perkembagan lain, Jabatan Pendidikan negeri (JPNT) kini sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan kejadian tersebut.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) JPNT, Azman Othman @ Abdullah, berkata, pihaknya tidak boleh memberi sebarang kenyataan kerana kes itu masih dalam siasatan, lapor Berita Harian pada Khamis.

"Kita mengesahkan tindakan awal sudah dilakukan selepas menyaksikan video yang ditularkan melalui Facebook berdurasi 41 saat seorang guru memukul kepala dan menolak seorang murid di sekolah itu.

"Kita difahamkan kejadian itu dikatakan berlaku di dewan perhimpunan ketika perhimpunan diadakan sempena Program Cegah Rokok dan Vape, kira-kira pukul 10 pagi pada Rabu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram