DUA lelaki didakwa atas kematian seorang pelajar universiti yang maut dihempap unit penghawa dingin yang jatuh dari tingkat 17 di jalan New Taipei City, Taiwan pada Julai lalu.
Pendakwa Raya New Taipei berkata, pemilik Jinyao Air Conditioning, dikenali sebagai Liu, dan salah seorang pekerjanya, bernama Lee, didakwa atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian.
Pada 20 Julai lalu, seorang pelajar National Chengchi University, Huang, 21, dihempap penghawa dingin seberat kira-kira 30 kg di kepala ketika dia berada di perhentian bas berhampiran pintu masuk No. 2 Entrance of Xinpu, stesen Mass Rapid Transit (MRT) Taiwan.
Dalam pada itu, siasatan polis mendapati penghawa dingin itu terjatuh dari pangsapuri ketika sedang dipasang.
Menurut pendakwa raya, Lee telah diupah secara bebas oleh Liu untuk memasang penghawa dingin tingkap menegak di sebuah apartmen di Minsheng Road in Banciao District, Taiwan.
Di bawah kontrak yang dibuat, Liu difahamkan perlu menghentikan kerja-kerja pemasangan penghawa dingin jika timbul sebarang masalah kerana pemasangan sepatutnya dilakukan oleh dua juruteknik bertauliah.
Liu mengakui tindakannya menyuruh Lee untuk memasang penghawa dingin berkenaan adalah untuk mengurangkan kos buruh meskipun mengetahui Lee tidak berkemahiran.
Akibatnya, penghawa dingin itu jatuh kerana tidak dipasang dengan baik oleh Lee.
Mangsa dikatakan mengalami kecederaan serius ketika anggota perubatan tiba di tempat kejadian dan disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Far Eastern Memorial Hospital, Taiwan.
Mengulas lanjut, pendakwa raya berkata, Liu harus dikenakan hukuman berat kerana dia tidak menunjukkan kekesalan semasa disoal siasat.
Perbicaraan kes itu masih berjalan dan kedua-duanya boleh berdepan hukuman penjara yang lama akibat kecuaian tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram