KEPUTUSAN tetap bagi status pemakaian baju untuk seluruh pelajar sekolah sehingga kini masih belum diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pelbagai gesaan dan desakan telah dilakukan oleh beberapa pihak termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berhubung isu tersebut.
Namun, kedua-dua pihak itu memberi cadangan berbeza yang perlu dipertimbangkan oleh pihak KPM.
Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon sebelum ini menyuarakan bahawa, kelonggaran itu perlu ditarik semula atas alasan keterampilan dan disiplin murid.
Pakaian uniform sekolah yang diwajibkan sebelum kelonggaran dikuatkuasakan sejak Oktober 2021.
Manakala, pihak PIBG pula menyeru KPM agar mempertimbangkan atau mengekalkan kelonggaran tersebut atas faktor keselesaan pelajar dan cuaca yang tidak menentu di Malaysia.
Bagaimanapun, kedua-duanya dilihat memberi impak impak besar serta maklum balas yang bercampur oleh orang awam termasuk ibu bapa, guru dan pelajar sekolah sendiri.
Namun, rata-rata ramai yang mendakwa, kelonggaran tersebut perlu dikekalkan kerana ia lebih meringankan beban ibu bapa serta lebih mudah untuk diuruskan.
Kelonggaran tersebut juga dilaksanakan atas tujuan meringankan beban terutama kepada golongan kurang kemampuan untuk membeli set pakaian seragam sekolah.
Terdapat juga dakwaan yang mengatakan bahawa, alam persekolahan tidak sama seperti pekerja yang hanya duduk di dalam pejabat yang mempunyai pendingin hawa.
"Dalam kelas, kebanyakan sekolah cukup bahang dengan bilangan muridnya yang mencapai 30 hingga 40 orang satu kelas.
"Kelonggaran kepada pakaian sukan adalah perlu bagi mengurangkan beban kerja ibu bapa untuk mencuci dan menggosok setiap hari," kata seorang responden menerusi satu hantaran di e-mel Majoriti.
Dakwanya lagi, tidak timbul sebarang isu keterampilan dan disiplin yang sebelum ini diutarakan oleh NUTP.
"Hal ini kerana, KPM sudah mempunyai aturan jelas tentang garis panduan pemakaian baju sukan dalam kalangan murid dan guru di sekolah," katanya yang tidak mendedahkan namanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram