[VIDEO] Bengang kena marah tak bagi signal, pemandu berkali-kali langgar penunggang motor di Pulau Pinang


  • 112
  • Jumaat, 08 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan pemandu yang melanggar penunggang motosikal berkali-kali di Pulau Pinang pada Jumaat.

SEORANG pemandu kereta bertindak agresif selepas didakwa memandu dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang penunggang motosikal di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada Jumaat.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebook Siti Sarah pada hari yang sama, pemandu kereta jenis Proton Wira tersebut dilihat melanggar penunggang berkenaan berkali-kali dan telah menyebabkan motosikal mangsa yang bernama Mohd Akmal Fadil mengalami kerosakan.

Menurut Siti Sarah yang juga merupakan kakak kepada mangsa, punca kejadian adalah disebabkan oleh tindakan adiknya itu yang menahan pemandu tersebut kerana tidak memberikan signal ketika memotong.

Pada masa sama, berlakunya sedikit pertelingkahan antara kedua-dua pemandu dan penunggang terbabit di lokasi kejadian.

Siti Sarah berkata, ketika pemandu memberhentikan kereta di tepi jalan, dia dilihat keluar dengan memegang sebatang besi seperti mahu memukul adiknya.

"Selepas adik saya hon dan beritahu suspek kenapa tidak beri signal, dia terus keluar ambil besi nak pukul adik saya.

"Tetapi, bila adik saya cakap nak buat aduan kepada polis, suspek terus masuk kereta dan langgar adik saya berkali-kali,'' katanya kepada Majoriti.

Katanya, Akmal dan suspek tiada sebarang kaitan atau mempunyai hubungan ketika kejadian berlaku.

Bukan itu sahaja, Siti juga memberitahu bahawa kejadian tersebut telah menyebabkan adiknya cedera pada kaki kanan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu daripada mangsa.

"Hasil siasatan awal yang dijalankan oleh polis mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa menegur seorang lelaki yang memandu kereta kerana suspek memotong kenderaan tanpa memberi isyarat lampu sisi dan tindakan tersebut berbahaya.

"Pemandu kereta itu yang tidak berpuas hati telah bertindak melanggar motosikal dan penunggang motosikal itu dengan keretanya, ekoran kejadian tersebut mangsa (penunggang motosikal) membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kejadian yang turut tular di media sosial itu jelas merupakan jenayah dan siasatan dijalankan di bawah bawah Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu boleh menghubungi mana-mana balai polis atau pegawai penyiasat Insp Lee Howe Chong di talian 016- 598 9576. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram