[VIDEO] Umno pecat Isham Jalil serta-merta


  • Primer
  • Rabu, 06 Dis 2023

Isham Jalil menyatakan tidak menghadiri mesyuarat MKT sebagai tindakan protes kepada kepemimpinan parti.

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Rabu membuat keputusan untuk memecat Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil.

Perkara itu dikongsi seorang pemimpin Umno yang turut hadir pada mesyuarat MKT itu, namun meminta namanya tidak didedahkan.

Menurutnya, antara kesalahan bekas ketua penerangan Umno itu termasuk mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan serta berdebat, mengeluarkan label barua DAP dan tidak hadir mesyuarat.

Terdahulu, Isham menegaskan tidak akan menghadiri mesyuarat MKT itu sebagai tindakan protes kepada kepemimpinan parti tersebut.

Beliau kekal dengan pendirian itu selagi Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih mahu menyertai pilihan raya bersama DAP.

"Buat apa saya ikut kemahuan dia dan datang tadah muka di lubuknya. Kalau dia ikhlas, mungkin Presiden boleh tunaikan cabarannya untuk berdebat dengan saya sebelum ini, di gelanggang yang neutral. Kalau dia berani," katanya dalam kenyataan Facebook pada Rabu.

Sementara itu, Ahli MKT Umno, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang tidak mengesahkan keputusan MKT, mendakwa Isham sendiri bertindak seolah-olah meminta untuk diambil tindakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram