KISAH pilu empat beradik yang diabaikan oleh ibu bapa mereka yang hilang tanpa khabar sejak tiga hari lalu dalam kejadian di Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan, meraih simpati netizen.
Menurut seorang pengguna di Facebook, Siti Norlaila berkata, anak-anak itu kini dijaga olehnya buat sementara waktu memandangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih menguruskan kes mereka.
Siti Norlaila yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sayang al-Quran Seawal Usia (SASU) berkata, dia melihat anak-anak yang diabaikan itu memiliki hati yang lebih cekal berbanding orang biasa.
Empat beradik yang dijaga sementara oleh keluarga Siti.
"Mungkin kesusahan hidup yang dilalui mengajar anak ini berhati kental," katanya.
Tambah Siti Norlaila lagi, anak sulung daripada empat beradik itu sudah pandai menjalankan tanggungjawab mengurus adik-adiknya meskipun baru berusia enam tahun.
"Abang sulung sangat pandai jaga bayi, pandai mandikan dan cebokkan bayi (adiknya).
"Buat susu, masukkan dalam buai, mandikan adik- adik semua dibuat dengan sempurna," tulisnya.
Malah, Siti Norlaila terperanjat apabila nasi lemak yang dihidangkan sebagai sarapan pagi disuap dengan sangat elok ke mulut bayi itu tanpa kekok.
Lebih menakjubkan, anak sulung daripada empat beradik itu petah berbicara dengan seseorang walaupun masih kanak-kanak.
"Abang sulung sangat pandai menjawab soalan dari pihak JKM dan juga polis. Malah, anak ini tidak nampak gentar dan yakin menjawab tiap soalan yang dilontar sehingga mendapat pujian daripada ramai," tulisnya.
Menurut Siti Norlaila, sebelum ini mereka hidup berpindah-randah dan tidak diurus dengan sebaiknya oleh kedua-dua orang tua mereka.
"Masa masuk tengok rumah mereka, yang ada cuma karpet lusuh untuk mereka tidur.
"Kain baju bercampur entah mana kotor entah mana bersih," tulisnya.
Siti Norlaila berkata, dia melihat anak-anak itu berasa kekok apabila diuruskan dengan kasih sayang ketika berada di rumahnya.
"Saya mandikan, letak bedak dan sikat rambut mereka. Sebelum makan, pesan baca bismillah dan suapkan makan tetapi anak-anak ini pandang saya tak berkelip mata sambil senyum panjang.
"Anak saya, Humaira pun berpendapat, mereka mungkin tak biasa dibedak disikat macam itu," tulisnya.
Siti Norlaila berkata membesarkan anak-anak dengan kasih sayang merupakan perkara asas buat seseorang yang bergelar ibu bapa.
"Memberi makan minum, sentuh anak-anak dengan kasih di samping memberi pujian dan kata-kata sokongan yang ikhlas mampu merawat emosi anak.
"Mungkin inilah jalan menuju syurga untuk kita yang bergelar ibu ayah," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen sayu melihat keadaan anak-anak yang ditinggalkan ibu bapanya itu.
"Sedihnya. Semoga anak-anak ini membesar dengan baik, jadi anak yang soleh dan solehah," tulis Alia Najiah Lokman.
"Nak jawab macam mana di hadapan ALLAH nanti, amanah yang diberi, kita abaikan dan buang. Semoga ibu ayahnya berfikiran waras," tulis Ekinn Kim.
"Jadikanlah anak-anak ini insan yang soleh dan solehah, yang berjaya dunia akhirat. Amin Amin. Anak-anak saya pun diajar menguruskan adik-adik. Sebaya anak-anak ini. Andai satu hari saya dah tidak ada, anak-anak ini tahu nak buat apa," tulis Denia Eyenie. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram