[VIDEO] Pemandu Wira rempuh penunggang OKU sampai maut di Jalan Batu Kitang bukan lari tapi serah diri


  • Tular
  • Isnin, 04 Dis 2023

(Kiri) Tangkap layar kenderaan suspek yang melarikan diri dari tempat kejadian manakala (kanan) gambar keadaan mangsa yang maut. — Facebook

SEORANG lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dipercayai maut selepas motosikal yang ditunggang mangsa dirempuh oleh seorang lelaki menggunakan kenderaan dalam satu kejadian di Jalan Batu Kitang, Kuching, Sarawak pada Isnin.

Melalui video yang dikongsikan warga maya, Are Pey, lelaki berkenaan terus melarikan diri selepas melanggar mangsa.

"Langgar lari depan kampung," tulisnya.

Orang awam yang berada di tempat kejadian juga dilihat cuba untuk memberhentikan kereta suspek dengan mengejarnya menggunakan sebuah motosikal namun gagal.

Menurut saksi, pemandu tersebut terus memecut kenderaan dengan cara berbahaya.

Pada masa sama, laman Facebook RedParrot turut berkongsi video berkenaan.

"Rakaman video di Jalan Batu Kitang. Seorang suspek telah melanggar seorang lelaki OKU dan cuba melarikan diri.

"Setakat ini dilaporkan mangsa langgar lari tersebut meninggal dunia. Sekiranya ada maklumat terperinci sila beri penerangan dengan pihak polis," tulis pentadbir laman media sosial tersebut.

Video tersebut juga turut menjadi bualan warga maya kerana kenderaan yang digunakan mempunyai pelekat OKU.

"OKU langgar OKU? Moga dapat dicari melalui nombor pendaftaran kenderaan," tulis Lundu Menarik.

"Pemandu itu OKU atau dia yang langgar OKU? Sebab kereta itu ada pelekat khas OKU," tanya Aurelia Faye Hillary Bajau pula.

Sementara itu, melalui maklumat yang dikongsikan Sarawak Edition memaklumkan pemandu berkenaan sudah menyerah diri ke balai polis terdekat.

Manakala mangsa pula meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di anggota badan.

Namun, setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram