SEBUAH restoran terpaksa ditutup untuk proses pembaikan selepas sebuah kereta merempuh premis berkenaan dalam kejadian di Bellevue, Washingston, Amerika Syarikat pada Khamis lalu.
Rakaman yang tular di media sosial memaparkan pemandu sebuah kereta jenis sedan mengundur dengan kelajuan maksimum sehingga merempuh dinding bangunan restoran berkenaan.
"Peristiwa yang berlaku itu sama sekali tidak dijangka tetapi ajaibnya semua pelanggan selamat.
"Kami berasa sangat lega dan bersyukur kerana tiada kecederaan serius,” kata Swish Swish menerusi laman Instagram.
Rakaman turut menunjukkan beberapa barangan di dalam kedai seperti meja makan, pinggan dan kerusi mengalami kerosakan selepas insiden itu terjadi.
Pada masa sama, turut dilihat, beberapa pelanggan yang terkena rempuhan itu jatuh dari kerusi masing-masing.
Pemilik restoran, Brandon Ting berkata, salah seorang pelanggan hampir maut selepas dia nyaris dilanggar kenderaan terbabit.
"Ia betul-betul di sebelahnya sehingga pakaiannya tersangkut di belakang kereta.
"Maksudnya jika mangsa berada sedikit ke arah kiri, nyawanya mungkin tidak dapat diselamatkan," katanya.
Dalam pada itu, pihak restoran tidak dapat beroperasi seperti biasa bagi membolehkan segala kerja pembaikan bangunan dapat dilakukan dengan lancar.
“Kami berusaha untuk membaiki dan membuka semula, kesabaran dan sokongan anda amat bermakna bagi kami,” kata restoran berkenaan menerusi media sosial.
Susulan kejadian, Jabatan Polis Bellevue memaklumkan bahawa insiden itu berlaku secara tidak disengajakan.
Polis berkata, kejadian itu mengakibatkan seorang mangsa yang mengalami kecederaan ringan terpaksa dibawa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram