SPRM beku 41 akaun bank Aman Palestin bernilai RM15.86 juta


  • 112
  • Khamis, 23 Nov 2023

Pihak SPRM membekukan akaun Aman Palestin yang merupakan NGO untuk menyalurkan bantuan ke Palestin. — Bernama

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 41 akaun bank Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan bernilai lebih RM15.86 juta pada Rabu.

Ia berhubung siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap dakwaan syarikat pertubuhan amal berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober lalu.

SPRM dalam kenyataan pada Khamis berkata, pihaknya juga merakam beberapa keterangan saksi penting dan hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

"Sebelum ini, SPRM turut membuat penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

"Siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574)," katanya.

SPRM juga telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting dan hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

msg1050426791-19281

Azam Baki yang menegaskan tindakan peringkat awal siasatan sebelum pihaknya memanggil individu terbabit berhubung kes tersebut. — Bernama

Sebelum ini, SPRM dilaporkan sudah melakukan siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa oleh NGO yang mengutip wang derma untuk rakyat Palestin tertumpu kepada penelitian dokumen membabitkan dana wang itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, ia tindakan di peringkat awal siasatan sebelum pihaknya memanggil individu yang terbabit bagi rakaman keterangan.

Sementara itu, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menerusi surat bertarikh 24 Ogos lalu meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) agar tidak membenarkan kutipan Tabung Aman Palestin dilaksanakan di premis agama Islam di negeri itu.

Ini kerana, beliau menyatakan tentang keraguan terhadap pengumpulan dan pengagihan dana oleh Aman Palestin dan menuntut lebih banyak ketelusan dalam perkara tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram