'Mungkin ada tekanan pihak tertentu', aktivis PPIM gesa akaun Aman Palestin diaudit secara telus


  • Massa
  • Jumaat, 24 Nov 2023

Izham Nayan (kanan) menganggap isu penyelewengan dana oleh Aman Palestin mungkin disebabkan faktor tekanan daripada pihak tersembunyi.

ISU keganasan yang berlaku di Palestin pastinya bukan perkara baharu dengan situasi di negara bergolak itu meruntun hati ramai pihak termasuk rakyat di negara ini.

Bukan itu sahaja, usaha beberapa negara termasuk Malaysia untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat di Gaza juga tidak pernah sekali pun berhenti ketika ini.

Namun, perkara yang menyedihkan apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain.

Hal ini kerana, timbul isu penyelewengan dana melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) baru-baru ini dengan topik itu hangat diperkatakan orang ramai.

Pada 14 Oktober, seorang aktivis mendakwa bahawa Aman Palestin menggunakan 30 peratus daripada RM114.5 juta dana yang sepatutnya dihantar ke Gaza pada 2021.

Malah, dia turut mendakwa bahawa NGO berkenaan tidak telus dalam menyalurkan sumbangan ke Palestin.

msg1050426791-19297

Kenyataan media SPRM pada Khamis berhubung penyelewengan dana yang dilakukan Aman Palestin. — SPRM

Tidak hanya itu, pada Khamis, pihak bertanggungjawab iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah membekukan sebanyak 41 akaun bank NGO terbabit yang bernilai lebih RM15.86 juta.

Menurut Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Izham Nayan, isu berkenaan timbul berkemungkinan disebabkan beberapa faktor.

Menurutnya, terdapat tekanan daripada pihak-pihak tertentu yang mungkin mahu menilai semula saluran bantuan rakyat Malaysia kepada pihak Palestin.

"Mungkin ada tekanan daripada pihak tersembunyi yang kita tidak tahu sehingga isu ini boleh berlaku. Bagaimanapun, check dan balance perlu ada, akaun-akaun pun perlu diaudit secara telus.

"Ia kerana, kebolehan untuk menggunakan dan tidak menggunakan dana-dana bantuan ini sangat tipis, terutamanya saluran untuk anak-anak yatim (seperti di Palestin)," katanya kepada Majoriti.

KUALA LUMPUR, 18 Nov -- Lebih 100 pengamal media dari seluruh negara berkumpul bagi membawa suara solidariti kepada pengamal media yang bertaruh nyawa dalam menyampaikan berita di Gaza, Palestin dalam perhimpunan Save Press 4 Gaza (SP4G) di Dataran Merdeka hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Lebih 100 pengamal media dari seluruh negara berkumpul bagi membawa suara solidariti kepada pengamal media yang bertaruh nyawa dalam menyampaikan berita di Gaza, Palestin dalam perhimpunan Save Press 4 Gaza (SP4G) di Dataran Merdeka. — Bernama

Dalam pada itu, Izham menegaskan bahawa jumlah yang digunakan untuk menanggung kos pengurusan perlu mengikut kadar-kadar tertentu dan sememangnya tidak boleh diambil walau sedikit jika disalurkan kepada golongan anak yatim.

Izham berkata, pihak bertanggungjawab perlu lebih meneliti secara mendalam terhadap aktiviti apa yang dilakukan dalam laporan audit NGO berkenaan.

"Tambahan, audit untuk kerja-kerja kebajikan ini sepatutnya perlu berbeza dengan audit syarikat atau NGO lain kerana ia melibatkan cross border (ada sekatan tertentu).

"Manakala, kalau kita terlalu nak ikutkan rekod setiap transaksi bukan melalui tunai sememangnya sukar. Jadi ini memerlukan satu set audit yang lain untuk menjadikan ia lebih telus," katanya.

Justeru, Izham mengharapkan pihak NGO tersebut perlu meneliti dan mengaudit segala transaksi dengan menggunakan hati dan bukan perasaan serta mempertimbangkan keadaan yang berlaku di Palestin.

"Tidak hanya itu, bagi pihak saya, kami menggesa agar duit yang sepatutnya sampai ke Palestin itu mesti disalurkan juga," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram