[VIDEO] Roy Azman sefamili tak sedar kereta terbakar brek tak makan, mujur ada orang hon


  • Tular
  • Isnin, 04 Dis 2023

Roy memuat beberapa gambar memaparkan keadaan kenderaannya selepas terbakar di sebuah jalan raya. — Roy Azman

KENDERAAN mewah milik pelakon dan pelawak, Roy Azman terbakar di sebuah jalan raya pada Ahad.

Berkongsi kejadian cemas itu menerusi hantaran di Facebook, Roy ataupun nama sebenarnya Zairosminan Abdul Rahman, meluahkan rasa syukur kerana dia bersama isteri dan anak bongsu sempat menyelamatkan diri ketika kejadian berlaku di tengah lebuh raya itu.

Roy, 53, turut berkongsi bersama beberapa gambar dan video keadaan keretanya yang terbakar sehari selepas insiden terbabit.

“Salam semua, alhamdulillah, saya, isteri dan anak bongsu sempat lari keluar kereta, syukur,” katanya.

Kongsi Roy lagi, dia baru sahaja mengambil kereta tersebut daripada bengkel dan tidak menyangka kenderaan tersebut akan terbakar.

"Kereta baru hantar 'overhaul' petang semalam (Ahad) dan pada sebelah malamnya pula saya bersama keluarga makan bersama rakan yang lain di di Puncak Alam, Selangor menggunakan kenderaan itu.

"Balik daripada kawasan tersebut dalam pukul 11 lebih dan ada kereta membunyikan hon beberapa kali ke arah kami serta memberitahu kereta saya terbakar.

“Pada masa sama, brek kaki pula tak makan. Mujurlah brek tangan masih berfungsi dan kami sempat berhenti walaupun sedikit tersasar," katanya.

Dia juga meluahkan rasa syukur kerana tidak melanggar pembahagi jalan dan tiada kemalangan jiwa berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram