[VIDEO] 'Berlipat sirat drebar Kancil', pemandu disyaki kena 'heart attack' sodok kereta di lampu isyarat Simpang Telipot


  • Tular
  • Isnin, 04 Dis 2023

Tangkap layar kejadian kereta terbabas di Jalan Telipot, Kota Bharu kira-kira pukul 4 petang.

SEBUAH kereta jenis proton Saga terbabas sehingga merempuh kira-kira empat buah kenderaan dalam kejadian pada pukul 4 petang Isnin, di Telipot, Kota Bharu, Kelantan.

Video kemalangan yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis berhampiran turut tular di media sosial pada hari yang sama.

Menerusi rakaman berdurasi seminit berkenaan memaparkan pemandu kereta itu memecut laju di lokasi terbabit sebelum hilang kawalan.

Dalam rakaman awal video tersebut, kelihatan kereta itu berada di lorong paling kiri jalan raya sebelum secara tiba-tiba mengubah laluannya menuju ke laluan kanan sehingga memasuki lorong bertentangan.

Pada masa sama, rakaman menunjukkan terdapat sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang pemiliknya dipercayai memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk menuju ke salah satu kedai yang berada di kawasan itu.

Sewaktu dia membuka pintu kereta untuk keluar dari kenderaan, kereta Proton Saga yang datang dari arah bertentangan tadi merempuh kenderaannya sehingga mengakibatkan mangsa melambung sebelum terjatuh ke tanah dan nyaris dilanggar kenderaan lain.

Lebih malang, kereta Proton Saga itu dilihat tidak menghentikan kenderaannya malah turut menyeret Kancil berkenaan ke laluan bertentangan hingga merempuh deretan kereta di lampu isyarat persimpangan jalan.

Dapat dilipat kira-kira tiga buah kenderaan lain terkena impak pelanggaran itu ketika kenderaan masing-masing berhenti di lampu isyarat merah.

Seorang pengguna di laman Facebook, Osman Mahussain mendakwa pemandu kereta Saga berkemungkinan mengalami serangan jantung.

Ada juga netizen yang berasakan mungkin pemandu kereta Saga itu mengalami masalah kesihatan.

"Allahuakbar. Melambunglah seorang itu. seorang lagi pun jatuh," tulis Pi Jo.

"Nampak macam serangan jantung, minta dijauhkanlah. Aduh," tulis Chan Khek Jun.

"Ya ALLAH semoga dipermudahkan semua. Amin," tulis Mohd Ariez Ariez.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan mana-mana pihak yang terlibat mahupun pihak berkuasa mengenai insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram