PENGUMUMAN peletakan jawatan oleh Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff pada 16 November lalu yang tidak lagi menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) merupakan satu keputusan muktamad.
Agus menegaskan bahawa keputusan itu dibuat kerana sudah menerima tawaran kerja baharu dan bukannya disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak supaya melepaskan jawatan di J-KOM yang disandang sejak 2 Februari lepas.
Susulan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa jawatan Agus akan diisi secepat mungkin.
Fahmi Fadzil yang turut mengesahkan tentang peletakan jawatan Agus itu. — Bernama
Dalam perkembangan terbaharu, jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) bakal diisi oleh penjawat awam dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, jawatan tersebut bakal mempunyai pengganti tidak lama lagi dengan namanya akan dihantar kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN).
"Pengganti Agus sudah ada dan namanya akan dihantar ke KSN untuk surat lantikan," katanya kepada Majoriti.
Katanya lagi, individu yang akan menggantikan Agus merupakan seseorang yang mempunyai latar belakang sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).
Sementara itu, nama Agus juga semakin hangat diperkatakan selepas isunya bersama, penolong pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir tular di seluruh media tempatan sejak peletakan jawatan itu.
Abdul Wahab pada Khamis hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang bagi membuat laporan polis selain mendakwa tindakannya itu bagi membersihkan namanya dalam isu rakaman video perbualan lucah.
Dia sebelum ini mendakwa dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Agus oleh individu bernama Mr H selepas rakaman video dan audio perbualan yang mengaitkan dirinya bersama Agus adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram