BEKAS Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mendedahkan identiti ‘Mr H’ dalam keterangan beliau kepada polis di Kajang, Selangor pada Isnin, lapor Buletin Utama.
Beliau berkata, satu lagi laporan polis turut dibuat berhubung penularan laporan dibuatnya sebelum ini, berkaitan video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM.
“Saya sudah berjumpa dengan pegawai penyiasat dan selesai diambil keterangan. Saya juga sudah mendedahkan siapa Mr H untuk siasatan pihak polis.
“Saya juga ada buat laporan polis berkaitan (video) Tik Tok tular pagi ini terhadap Raja Petra berkaitan dengan laporan polis saya sebelum ini terdedah dengan maklumat peribadi yang dikira membahayakan keselamatan diri dan keluarga,” katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Ditanya mengenai tarikh, pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani akan membuat laporan polis, Mohammad Agus menyatakan beliau tidak tahu mengenai perkara itu.
Terdahulu, Mohammad Agus tiba di IPD Kajang ditemani peguam, Faizal Abd Rahman pukul 2 petang Isnin dan dilihat keluar dari IPD berkenaan pukul 5.25 petang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram