Polis tahan guru agama di Kulim lepas buat hantaran ugut Perdana Menteri


  • 112
  • Jumaat, 01 Dis 2023

Pihak polis yang dilaporkan sudah menahan seorang guru agama ekoran hantaran berbaur ugutan terhadap Anwar Ibrahim di media sosial baru-baru ini.

POLIS menahan seorang lelaki bergelar guru sekolah agama bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial yang mengandungi kenyataan berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan kira-kira 10 malam Khamis di rumahnya di Kulim, Kedah susulan lima laporan polis dibuat terhadapnya di seluruh negeri itu pada Khamis.

"Kita ambil tindakan daripada laporan pertama yang kita terima semalam pada 5.33 petang di Balai Polis Kampung Tanjung, Padang Terap.

"Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim dan Padang Terap," katanya pada sidang media di Jitra, Kedah pada Jumaat.

msg1050426791-19649

Hantaran mesej berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri yang tular di media sosial. — Facebook

Beliau berkata, selain di Padang Terap, pihaknya turut menerima laporan berkaitan hantaran itu di daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu dan Kulim.

Fisol berkata, pihaknya memohon perintah reman empat hari bermula hari ini terhadap suspek yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Kulim.

Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam setiap hantaran di media sosial dan tidak membuat hantaran yang boleh menjadi kesalahan seperti mengandungi ugutan jenayah. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram