[VIDEO] Pemandu disyaki kemurungan bawa lari anak punca PGA Sabah 'kepung' kereta


  • Tular
  • Khamis, 30 Nov 2023

Tangkap layar video memaparkan anggota PGA mengepung sebuah kereta di Sabah pada Khamis.

TULAR sebuah video memaparkan beberapa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dipercayai memaksa pemandu untuk keluar daripada kereta di Jalan Sapi Nangoh, Beluran, Sabah pada Khamis.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebook Sabah Revolusi, kejadian tersebut berlaku di Pusat Pemeriksaan di lokasi itu.

Dalam video itu, beberapa anggota tersebut dilihat menjerit 'turun' sambil menghalakan senjata ke arah kereta berkenaan.

Namun, pemandu itu dilihat tidak keluar daripada kereta tersebut walaupun sudah dipaksa, sebaliknya cuba melarikan dari situasi tersebut.

Dalam pada itu, polis menafikan rakaman video yang tular melibatkan pemeriksaan pihaknya ke atas sebuah kenderaan di pusat pemeriksaan darat (RCP) Sapi Nangoh adalah berkaitan kes penculikan.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Kasim Muda berkata, video berdurasi 18 saat itu memaparkan sebuah kenderaan cuba mengelak pemeriksaan polis.

"Ketika kejadian, kereta berkenaan telah melarikan diri menuju ke arah Kota Kinabalu semasa pemeriksaan sedang dijalankan di RCP Sapi Nangoh sebelum ditahan pihak polis.

"Suspek yang menaiki kereta tersebut, iaitu seorang lelaki tempatan, kemudiannya cuba melarikan diri daripada sekatan jalan ketika pemeriksaan dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Khamis malam.

Beliau berkata, suspek kemudian berjaya diberkas pada hari sama di tempat kejadian selepas dia berpatah balik untuk menyerah diri.

"Tangkapan pada kira-kira pukul 5 petang itu turut melibatkan rampasan sebuah kereta jenis Perodua Aruz berwarna hitam oleh pihak polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.

Kasim berkata, lelaki itu turut disyaki mengambil dadah dan ujian saringan air kencing akan dijalankan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram