Lepas Covid-19, China sekali lagi diserang krisis kesihatan


  • Benua
  • Khamis, 30 Nov 2023

Pasukan HAZMAT ketika melakukan pembasmian kuman susulan penularan wabak peneumonia di China baru-baru ini.

HAMPIR empat tahun, dunia dikejutkan dengan penularan wabak Covid-19 yang mula tular di China itu telah meninggalkan kesan besar terhadap ekosistem global.

Namun, China nampaknya sekali lagi menghadapi krisis kesihatan baharu apabila penularan wabak jangkitan kuman pada paru-paru atau dikenali sebagai pneumonia dilaporkan menyerang ribuan kanak-kanak di negara itu baru-baru ini.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit yang melibatkan kesukaran bernafas itu adalah kali pertama dilaporkan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China pada 13 November lalu.

msg1050426791-19571

Sebuah klinik kanak-kanak di Beijing, China yang dipenuhi pesakit yang terkena penyakit tersebut. — Agensi

Kebanyakan individu yang terkena wabak tersebut dikatakan mempunyai beberapa simptom seperti demam, keletihan dan batuk namun tiada sebarang kematian dilaporkan setakat ini.

Pada masa sama, sebanyak 205 kluster influenza atau selesema direkodkan bermula 13 November lepas di China, lapor CNA.

Susulan itu, tular pula sebuah video memaparkan beberapa Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dilihat sedang melakukan pembasmian kuman di sebuah sekolah di China.

Menerusi video tular sejak Khamis itu, pasukan tersebut membuat semburan kabus atau fogging di seluruh kawasan luar dan dalam sekolah tersebut.

Dalam pada itu, video tersebut juga dilihat menimbulkan kebimbangan dan panik kepada seluruh masyarakat bukan sahaja di China tetapi seluruh dunia.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan China dilaporkan mendakwa lonjakan kes berkenaan disebabkan oleh selesema dan patogen lain yang diketahui.

Manakala, Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan berkata, kumpulan jangkitan pernafasan yang berlaku baru-baru ini adalah disebabkan oleh pertindihan virus biasa seperti selesema dan RSV serta bakteria seperti mycoplasma pneumonia.

"Kementerian sudah menyeru pihak berkuasa tempatan untuk membuka lebih banyak klinik dan menggalakkan pengambilan vaksin dalam kalangan kanak-kanak serta warga emas," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram