[VIDEO] Dewan Rakyat umum Kumpulan Wang Covid-19 sah tutup — Ahmad Maslan


  • Primer
  • Khamis, 30 Nov 2023

Ahmad Maslan ketika berucap di Dewan Rakyat, pada Khamis.

DEWAN Rakyat pada Khamis meluluskan penutupan Kumpulan Wang Covid-19 mengikut Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61).

Ia dipersetujui melalui undian suara Ahli Parlimen dan diluluskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan sejumlah RM110 bilion dana keseluruhan diperuntukkan menerusi Kumpulan Wang Covid-19.

Beliau berkata, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya didapati berlaku salah guna dana berkenaan.

"Kumpulan Wang Pembangunan ialah satu kumpulan wang amanah kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 bagi tujuan membiayai projek pembangunan.

"Sumber kumpulan wang pembangunan diperoleh melalui pindahan antaranya daripada Akaun Pinjaman disatukan yang terdiri daripada terimaan terbitan sekuriti kerajaan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Dewan Rakyat turut meluluskan peruntukan di bawah subsekyen 10(4)(a) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) supaya Kumpulan Wang Covid-19 ditutup.

Ahmad berkata penutupan Kumpulan Wang Covid-19 wajar dilaksanakan memandangkan keadaan negara pada fasa peralihan kepada endemik dan pembayaran bagi perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang Covid-19 telah selesai sepenuhnya.

"Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Ogos 2023 telah bersetuju supaya Kumpulan Wang Covid-19 ditutup dan jadual kedua Akta 61 dipinda supaya mengeluarkan Kumpulan Wang Covid-19,” katanya.

Penutupan Kumpulan Wang Covid-19 tidak memberi sebarang komplikasi kewangan kerana langkah itu hanya melibatkan pemindahan baki daripada Kumpulan Wang Covid-19 kepada Kumpulan Wang Pembangunan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram