[VIDEO] Penunggang motor nyaris jadi mangsa amuk lelaki berpisau di simpang lampu isyarat Bintulu


  • Tular
  • Rabu, 29 Nov 2023

Tangkap layar memaparkan penunggang terbabit segera melarikan diri sebaik melihat lelaki tersebut cuba untuk menyerangnya dipercayai dengan menggunakan pisau.

SEORANG penunggang motosikal nyaris menjadi mangsa amukan seorang lelaki tidak dikenali dalam kejadian di sebuah persimpangan lampu isyarat dekat Bintulu, Sarawak.

Video mengenai kejadian tersebut turut tular di media sosial sejak Selasa.

Berdasarkan klip berdurasi 35 saat itu, lelaki berkenaan pada awalnya dilihat berjalan kaki berdekatan persimpangan tersebut sebelum menghampiri penunggang motosikal yang sedang berhenti.

Bagaimanapun, penunggang terbabit dipercayai mula menyedari kehadiran lelaki tersebut yang membawa senjata tajam dan kemudiannya segera berlari menyelamatkan diri serta meninggalkan motosikalnya terjatuh.

WhatsApp Image 2023-11-29 at 11.10.03 AM

Lelaki berkenaan dilihat turut cuba membuka pintu beberapa kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Selepas daripada itu, lelaki terbabit seterusnya turut melakukan ancaman terhadap beberapa kereta lain yang berhenti di persimpangan berkenaan.

Malah, dia juga dilihat cuba membuka pintu beberapa kereta yang sedang berhenti di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, difahamkan kejadian tersebut tidak melibatkan kecederaan terhadap mana-mana individu.

"Mengamuk. Cakap ada masalah sambil bawa pisau dekat tangan. Lepas itu pergi kacau org awam. Nasib mereka semua tak apa-apa," tulis Syazwani Hadi yang memuat naik video terbabit di Facebooknya.

Dalam pada itu, info dikongsikan orang awam di ruangan komen memaklumkan lelaki berkenaan sudah ditahan oleh pihak polis.

Setakat laporan ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak polis berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram