DUA remaja bawah umur dikepung orang awam apabila dipercayai cuba melarikan diri selepas melanggar seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Ternate, Maluku Utara, Indonesia pada Selasa.
Pada awal kejadian, suspek yang melanggar penunggang motosikal panik dan cuba melarikan diri ke arah kawasan Ternate Utara, Indonesia.
Suspek yang kedua-duanya berusia 15 tahun turut merempuh beberapa kenderaan lain sebelum kereta yang dipandu terbabas di tepi jalan.
Semasa kejadian, suspek turut dikejar berpuluh-puluh orang awam yang melalui kawasan berkenaan.
"Kejar-mengejar bermula dari kawasan Kayumerah di Ternate Selatan sehingga berakhir ke arah jalan menuju ke Kadato Ici, Buku Bandera, Sabia, Ternate Utara," kata saksi kejadian.
Rakaman yang dimuat naik di media sosial menunjukkan orang awam yang berada dalam keadaan marah mengepung kenderaan suspek yang terbabas di tepi jalan.
Pada ketika itu, sekumpulan individu menggesa dua remaja yang berada di dalam kereta terbabit supaya segera keluar dari kereta.
Namun, suspek tetap berdegil sehingga mengakibatkan beberapa orang bertindak untuk naik ke atas kereta berkenaan dan cuba memecahkan cermin hadapan kereta dengan menggunakan helmet.
Setelah beberapa minit, suspek berjaya diseret keluar dari kenderaan atas bantuan orang awam yang berada di situ.
Suspek kemudian dibawa ke sebuah rumah di perkampungan itu sambil menunggu kehadiran pihak berkuasa.
Menurut Ketua Seksyen Perhubungan Awam Polis Ternate, Inspektor Wahyuddin berkata, kes kini masih disiasat Unit Polis Trafik di kawasan berkenaan.
Tiada kenyataan lanjut dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian itu setakat ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram