[VIDEO] Malang berganda, 2 kemalangan berturut-turut dalam sehari kat jalan sama di Kota Bharu


  • Tular
  • Rabu, 29 Nov 2023

Tangkap layar video memaparkan dua kemalangan berasingan berlaku di Jalan Cempaka, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu.

HAMPIR setiap hari kes kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku di beberapa buah negeri di Malaysia.

Terbaharu, berlaku lagi dua kes sama yang melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Cempaka, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebook Yu KH, terdapat dua kemalangan berasingan berlaku di lokasi sama, malah pada hari yang sama.

Kemalangan pertama menyaksikan seorang penunggang motosikal yang terseret ke tepi jalan selepas merempuh sebuah kereta dari belakang.

Dalam video itu, penunggang motosikal terbabit dilihat memandu secara laju sambil membunyikan hon kepada kereta jenis Perodua Kancil putih yang ketika itu sedang menyusur keluar ke jalan utama.

Manakala kemalangan kedua pula juga melibatkan jenis kenderaan yang sama di kawasan jalan sama.

Melalui rakaman video itu, penunggang motosikal kedua juga dilihat merempuh sebuah kenderaan pelbagi guna (MPV) hitam yang datang dari arah tepi sebelum terjatuh di tengah jalan.

Pada masa sama, motosikal yang dipandunya turut terbalik menghempap badan mangsa selepas pelanggaran itu.

Bagaimanapun, keadaan kedua-kedua penunggang motosikal tersebut dilihat dalam keadaan selamat selepas terlibat dalam kemalangan itu.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengingatkan para pemandu agar lebih berhati-hati ketika memandu di jalan raya.

"Sebagai penunggang, kita kena beringat selalu. Tidak kiralah kita betul atau salah, sakit tu tetap boleh," komen Mohd Azahir Mahmood.

"Cermin sisi ada tolong tengok, cermin pandang belakang jangan halakan ke muka sahaja. Berhenti guna telefon ketika memandu," tulis Mohamad Farhan.

Masih belum ada kenyataan pihak berkuasa berhubung kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram