SEORANG lelaki warga tempatan menafikan dakwaan konsert di Bachok, Kelantan pada Jumaat lepas (24 November) memaparkan kumpulan penyanyi wanita dikenali sebagai Thungpang yang berasal dari Thailand merupakan satu konsert liar.
Ia berhubung dengan sebuah video tular memaparkan penyanyi perempuan tersebut yang dilihat melakukan persembahan dengan mengenakan pakaian kurang sopan pada hari Jumaat.
Video tersebut juga telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan dakwaan dengan mengatakan bahawa ia adalah konsert liar yang tidak sepatutnya diadakan di negeri tersebut.
Bagaimanapun, salah seorang penduduk Bachok mengambil kesempatan untuk tampil memberi penjelasan terhadap dakwaan berkenaan dengan menggunakan dialek Kelantan.
Tangkap layar video memaparkan pengunjung yang memeriahkan lagi program tersebut dianjurkan.
Melalui video yang dimuat naik di Twitter (X) @fairuz_azmi83, lelaki tersebut mengatakan bahawa konsert itu merupakan anjuran Persatuan Siam bagi menyambut Perayaan Loy Krathong.
Pada masa sama, dia juga menegaskan bahawa anjuran konsert tersebut telah diberikan permit dan dibenarkan oleh pihak berkuasa kerana tidak melibatkan umat Islam.
"Biasanya memang ada permit untuk lakukan sebuah program seperti itu. Konsert itu juga adalah selingan untuk anak-anak muda di kawasan itu.
Video penjelasan penduduk Bachok berhubung isu yang dibangkitkan.
"Mereka tak buat secara bebas kerana tahu memang salah jika tiada permit. Jadi ia merupakan program hiburan yang dimasukkan sekali dalam program kebudayaan itu," katanya dalam video tersebut.
Dalam pada itu, dia menjelaskan bahawa pemberian lesen itu adalah dasar keprihatinan pihak berkuasa untuk memberi ruang kepada warga yang menganut agama lain selain Islam.
"Ia adalah sedikit prihatin dan simpati untuk memberi laluan kepada agama lain meraikan perayaan atau kebudayaan masing-masing.
"Namun orang luar pula yang timbulkan pelbagai isu sehingga mengaitkannya dengan politik, kerajaan dan sebagainya," katanya.
Dia menambah, sebenarnya, penduduk di Kelantan semuanya hidup dalam keadaan harmoni tidak kira bangsa, kaum dan agama.
"Jadi bila perkara ini menjadi isu hangat, saya rasa sedikit janggal dan pelik kerana kami di Kelantan baik-baik sahaja," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram