SEORANG warga emas lelaki yang dikhuatiri hilang dibawa arus deras banjir di Jalan Sungai Sepakoi, Lawas, Sarawak ditemukan mati lemas awal pagi Khamis.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa yang dikenali sebagai Silas Sudai, 63, dijumpai pekerja yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan jalan raya (Projek SSLR) di perantara Kuala Sungai Sepakoi dan Sungai Long Tengoa di kawasan tebingan berbatu pada pukul 7 pagi.
"Mangsa dijumpai pada jarak tiga kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum dihanyutkan arus deras air," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Lokasi mangsa yang maut dalam kejadian di Sarawak pada Khamis. — PGO Sarawak
Sejurus sampai di lokasi, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas bertindak menutup mayat mangsa dengan menggunakan plastik hitam sementara menungggu ketibaan pihak polis.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis pada pukul 10.10 pagi untuk dibawa ke hospital bagi tindakan selanjutnya.
Identiti mangsa bagaimanapun tidak dinyatakan.
Setelah keadaan dipastikan benar-benar selamat, pasukan BBP Lawas bertolak semula balik ke balai.
Pada Rabu, sekitar pukul 11.30 malam, mangsa dikhuatiri hilang dihanyutkan oleh arus deras dalam kejadian banjir kilat yang melanda Jalan Sepakoi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram