Kanak-kanak 8 tahun ditemukan lemas di Pantai Taping


  • 112
  • Jumaat, 10 Nov 2023

Ibu bapa diingatkan supaya sentiasa mengawasi anak-anak daripada melakukan aktiviti air susulan musim MTL yang sudah pun bermula. — Gambar hiasan/Facebook

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemukan lemas dipercayai selepas bermain di Pantai Taping, Kemasek, Terengganu pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan orang awam pada pukul 5.21 petang yang memaklumkan mangsa, Muhammad Ammar Azwan Azani telah dihanyutkan ombak ketika bermain bersama rakannya di kawasan pantai berkenaan.

"Anggota dari Balai Polis Ayer Jernih dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.

msg1050426791-18716 (1)

Mangsa yang lemas dipercayai selepas bermain di pantai Taping, Terengganu pada Jumaat. — Gambar hiasan

"Mayat mangsa bagaimanapun ditemukan orang awam kira-kira setengah jam selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi media tempatan.

Hanyan berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak daripada melakukan aktiviti air, kerana musim Monsun Timur Laut (MTL) sudah pun bermula.

Beliau berkata, tinjauan pihaknya di kawasan pantai juga mendapati ombak semakin tinggi dan berbahaya kepada sebarang aktiviti rekreasi.

"Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) telah mengeluarkan amaran bahawa MTL telah pun bermula.

"Jadi saya minta ibu bapa tolong pantau aktiviti anak-anak terutama pada musim cuti sekolah seperti sekarang kerana mereka lebih bebas dan ada banyak masa bermain di luar,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram