KPM salur peruntukan lebih RM15 juta naik taraf, selenggara tandas 225 sekolah di Melaka


  • Primer
  • Sabtu, 25 Nov 2023

KPM beri peruntukan RM15.75 juta bagi menaik taraf tandas dan penyelenggaraan kecil melibatkan 225 sekolah di Melaka.

JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Melaka menerima peruntukan RM15.75 juta daripada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf tandas dan penyelenggaraan kecil melibatkan 225 sekolah rendah dan sekolah menengah di negeri itu.

Pengarahnya, Mohd Ghazali Ahmad berkata, daripada jumlah itu, kerja-kerja menaik taraf tandas di 215 sekolah telah selesai dilakukan hanya dalam tempoh lapan minggu iaitu bermula 18 Ogos hingga 12 Oktober lepas.

"Sesuatu yang agak menakjubkan kerana kita berjaya melakukannya dalam masa yang singkat dan daripada 225 sekolah itu hanya 10 sekolah masih berstatus peringkat akhir penyelarasan baki kerja untuk nilai kerja yang diluluskan sebanyak RM70,000.

"Kita percaya ia akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan tempoh tanggungan kecacatan adalah selama enam bulan selepas tarikh siap kerja,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, walaupun dilaksanakan dalam tempoh yang singkat, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada pihak sekolah memandangkan perbincangan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa berikutan keperluan seperti reka bentuk, kerja naik taraf atau lokasi tandas, berbeza mengikut sekolah.

Dari segi pecahan mengikut daerah pula katanya, sebanyak RM6.16 juta disalurkan menerusi JPN Melaka bagi menjalankan projek berkenaan di 88 sekolah di Melaka Tengah, manakala RM9.59 juta lagi disalurkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Melaka serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Jasin dan Alor Gajah, Melaka bagi menyelenggara 137 sekolah di dua daerah terlibat.

Mohd Ghazali berkata, antara skop kerja yang dibenar oleh KPM ialah ubah suai dan naik taraf tandas, ubah suai dan naik taraf sistem kumbahan, pendawaian semula dan penggantian peralatan elektrik di tandas dan sistem kumbahan, perolehan peralatan dan kelengkapan tandas dan lain-lain penyelenggaraan.

"Peruntukan sekali beri sebanyak RM70,000 oleh KPM bagi setiap sekolah kerajaan untuk tujuan penyelenggaraan tandas dan lain-lain telah memberi wajah baharu kepada tandas sekolah di negara ini dan peruntukan itu dilihat fleksibel untuk digunakan mengikut keperluan sekolah.

WhatsApp Image 2023-11-25 at 9.28.58 AM

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerubong merupakan salah satu sekolah yang bakal di naik taraf fasilitinya.

"Seperti contoh, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerubong, Melaka ia melibatkan lain-lain penyelenggaraan kerana sekolah tersebut berstatus baharu dan mula beroperasi pada Jun 2022 lepas. Untuk itu pihak sekolah boleh salurkan dana tersebut bagi kerja naik taraf fasiliti lain yang difikirkan perlu oleh sekolah dan murid di situ,” katanya.

Mengenai pemilihan kontraktor, beliau berkata, kaedah pelantikan adalah selaras dengan kelulusan Kementerian Kewangan yang diedarkan oleh KPM dan dilaksanakan secara undian bagi projek di bawah JPN Melaka, manakala bagi projek di bawah Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Melaka dan PDT Jasin serta Alor Gajah dilakukan secara lantikan terus.

Prestasi dan kerja-kerja naik taraf tersebut, katanya akan dipantau bersama oleh JPN Melaka, PPN Melaka dan PDT Jasin serta Alor Gajah melalui Dashboard KPM, manakala projek di setiap agensi pelaksana diuruskan oleh pembantu jurutera yang dilantik serta dipantau oleh ketua jabatan termasuk beliau sendiri. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram