Isteri Timbalan Speaker DUN Selangor meninggal dunia akibat derita penyakit barah


  • Primer
  • Sabtu, 25 Nov 2023

Suzana yang juga merupakan Ketua Penerangan Wanita PKR menghembuskan nafas terkahirnya pada Sabtu.

KETUA Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suzana Shaharudin meninggal dunia di Hospital Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur pukul 12.02 tengah pada Sabtu.

Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli berkata, Suzana, 51, yang juga isteri kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Mohd Kamri Kamaruddin, meninggal dunia akibat penyakit barah yang dialaminya sejak awal 2023.

"Beliau seorang yang amat komited dalam perjuangan PKR, saya sempat bertemu dengannya semasa tempoh kempen Pilihan Raya Negeri lepas yang turut berkempen bagi membantu suaminya (Adun Bukit Antarabangsa).

"Jenazah Suzana akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, Selangor selepas Asar," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Suzana juga merupakan Exco Wanita PKR dan bekas penyelaras DUN Bukit Antarabangsa.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi Facebook turut melahirkan rasa dukacita atas kematian Suzana yang juga Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan rakan seperjuangannya.

"Semoga Allah mengampuni segala dosa Allahyarham dan menempatkan roh beliau dalam kalangan orang-orang yang solehah.

”Saya turut mendoakan agar YB (Yang Berhormat) Mohd Kamri Kamaruddin dan keluarga Allahyarham tabah dengan ujian yang teramat berat ini,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram