[VIDEO] KKM buka permohonan, hantar sukarelawan petugas perubatan ke Gaza


  • Primer
  • Rabu, 15 Nov 2023

Pasukan perubatan bakal dihantar ke Semenanjung Gaza bagi misi menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas. — Gambar hiasan

KEADAAN penduduk bumi Palestin kini dilihat semakin tenat dan membimbangkan selepas dibedil rejim Zionis tanpa henti sejak 7 Oktober lalu.

Ribuan rakyat yang tidak bersalah termasuk kanak-kanak hilang tempat berteduh serta nyawa orang-orang tersayang akibat serangan udara yang berlaku di kawasan itu.

Susulan itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah maju kehadapan bagi menghulurkan bantuan perubatan dengan menghantar pasukan perubatannya ke Semenanjung Gaza sebaik sahaja kebenaran masuk diberikan.

Pada masa sama, KKM dilaporkan sedang membuka permohonan kepada pasukan perubatan yang boleh dihantar bagi membantu penduduk yang terjejas di kawasan itu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, permohonan yang dilakukan secara dalam talian itu adalah sukarelawan iaitu mereka yang terpilih akan didedahkan dengan latihan persediaan mengikut kesesuaian kepada situasi yang berlaku.

“Hal itu dalam pemantauan kita (pasukan perubatan) dan telah pun buka permohonan secara atas talian kepada anggota kesihatan yang bersedia untuk dihantar ke Gaza.

“Kita akan laksanakan latihan tetapi jumlah permohonan belum ada lagi dan akan diberikan kemudian berapa ramai yang mohon jadi sukarelawan.

“Kita pun sedang tunggu dan bekerja rapat dengan pasukan Palang Merah dan sebagainya termasuk badan bukan kerajaan (NGO) seperti Mercy yang berkhidmat di sana serta agensi kerajaan lain. Itu persediaan di peringkat kami," katanya selepas merasmikan Program Hari Integriti KKM Tahun 2023 di kementeriannya di Putrajaya pada Rabu.

Sementara itu, angka kematian dilaporkan meningkat kepada lebih 11,320 termasuk sekurang-kurangnya 4,650 kanak-kanak di Gaza yang terkorban akibat serangan kejam daripada Israel setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram