[VIDEO] Cari barang ‘recycle’, 3 beradik terjumpa mayat bayi perempuan terjerut leher di tong sampah MJC Batu Kawa


  • Tular
  • Khamis, 23 Nov 2023

Tangkap layar penemuan mayat bayi perempuan di tong sampah MJC Batu Kawa pada Rabu.

MAYAT bayi perempuan yang masih bertali pusat dengan leher terjerut kain tuala ditemukan dalam tong sampah di MJC Batu Kawa, Kuching, Sarawak pada Rabu.

Ia ditemukan tiga beradik yang bekerja sebagai buruh binaan ketika mencari barang kitar semula di salah sebuah tempat pembuangan sampah kawasan berkenaan.

Namun tiba-tiba, mereka tidak menyangka menemui bayi perempuan yang cukup sifat di dalam satu beg plastik hitam.

Difahamkan, ketika mereka membongkar plastik berkenaan, bayi itu didapati sudah tidak bernyawa lagi.

Lebih menyayat hati, mayat bayi malang itu ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian mahupun dibalut dengan kain.

Turut ditemui di kawasan berkenaan tuala yang digunakan bagi menjerut leher bayi malang terbabit.

Dalam pada itu, saksi kejadian terus memaklumkan kepada pihak polis berdekatan mengenai penemuan mayat bayi tersebut.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 23 tahun yang disyaki ibu kepada bayi berkenaan ditahan kira-kira pukul 1.15 pagi, sejurus selepas penemuan bayi itu kira-kira pukul 9.50 malam Rabu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Abang Zainal, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan bayi itu, yang sudah meninggal dunia daripada orang awam dan segera menggerakkan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JPJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak serta Balai Polis Batu Kawa ke lokasi kejadian.

Katanya, mayat bayi itu telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Justeru, beliau meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram