Kes Qaseh Aulia meninggal di taska, pengasuh warga Indonesia tak mengaku salah


  • 112
  • Rabu, 22 Nov 2023

Pengasuh warga Indonesia mengaku tidak bersalah abaikan bayi sehingga mati. — Bernama

SEORANG pengasuh taska warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor atas pertuduhan mengabaikan bayi perempuan berusia dua bulan sehingga menyebabkan kematiannya, bulan lepas.

Mulyati Kalim, 51, didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga bayi itu, Qaseh Aulia Faizul, telah mengabaikan dengan meninggalkannya tanpa pengawasan sehingga membawa kepada kematian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada pukul 9.40 pagi, 10 Oktober lepas.

WhatsApp Image 2023-11-22 at 2.29.18 PM

Qaseh Aulia meninggal didakwa atas kecuaian pengasuh di Taska.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, P. Vithiya Monisha tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes itu serius sehingga membawa kematian seorang bayi.

"Sekiranya mahkamah ingin membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai kerana tertuduh warga asing,” katanya.

Peguam, Badrul Munir Bukhari yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya berkahwin dengan warga tempatan selain menanggung empat anak.

"Anak guam saya tidak mempunyai pendapatan kerana tempat dia bekerja telah ditutup oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bergantung kepada suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Mohon anak guam dibenarkan jaminan rendah,” katanya.

Hakim, Syahliza Warnoh membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin tempatan dan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan selain menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes.

WhatsApp Image 2023-11-22 at 2.25.11 PM

Ibu bapa Qaseh Aulia sebelum ini berusaha mencari keadilan atas kematian bayi mereka.

Sementara itu, ibu kepada Qaseh Aulia, Maisarah Rosli, 33, ketika ditemui pemberita selepas prosiding mahkamah berharap mendapat keadilan buat anaknya.

"Biarlah mahkamah menentukannya (kes itu),” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram