[VIDEO] Uptown Kota Damansara terbakar, punca sebenar masih dalam siasatan


  • Tular
  • Isnin, 20 Nov 2023

Tangkap layar kejadian kebakaran di Uptown Kota Damansara, Petaling Jaya pada Isnin malam.

DERETAN bangunan kedai Uptown Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor dilaporkan terbakar pada Isnin malam.

Kejadian dilaporkan berpunca daripada litar pintas yang mengakibatkan api marak ke deretan kedai di kawasan berkenaan.

Insiden yang berlaku mengakibatkan beberapa buah kedai di lokasi yang dikenali sebagai Uptown Kota Dame dalam kalangan warganet itu dilihat tidak dapat beroperasi seperti biasa.

Punca sebenar kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan termasuk melibatkan unsur khianat ataupun tidak.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, kira-kira 20 gerai di Uptown Kota Damansara, Petaling Jaya terlibat dalam kebakaran.

Jurucakap Jabatan Bomba Penyelamat Selangor ketika dihubungi berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pukul 8.34 malam dan tiba di lokasi kejadian pada 8.43 malam.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian deretan gerai itu telah terbakar 90 peratus, selain terdapat bangunan yang menempatkan gimnasium turut terbakar 50 peratus.

"Kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan kerja-kerja pemadaman sedang dilakukan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Kota Anggerik dan BBP Damansara, " katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram