
SEORANG nelayan sempat diselamatkan ketika berdepan detik-detik cemas selepas bot yang dinaikinya karam di tengah laut di perairan Kampung Telaga Air, Sarawak pada Ahad.
Menurut sumber, mangsa yang bernama Atta Akil, 44 dijumpai dan diselamatkan oleh pasukan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Safety Water and Rescue Team (SWART) Kampung Telaga Air ketika kejadian.
Pada masa sama, mangsa dilaporkan sempat menghubungi isterinya dan memaklumkan bahawa botnya bocor sebelum karam di tengah laut berhampiran Pulau Tokong Kayu Ara.
Sementara itu, mangsa turut dikatakan sudah dibawa pulang dan diserahkan kepada agensi penyelamat bagi tindakan lanjut.
"Mangsa yang berpaut pada botnya dijumpai selamat dan dibawa balik ke jeti Telaga Air sebelum diserahkan kepada pos agensi-agensi penyelamat," lapor Bilik Berita CATS.
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook BBcats, mangsa dilihat sedang berpaut dan duduk di atas botnya yang hampir tenggelam di dalam laut ketika anggota penyelemat tiba.
Dalam pada itu, rata-rata warganet memanjatkan rasa syukur kerana mangsa dapat diselamatkan.
"Alhamdulillah, selamat," komen Mat Yaw.
"Alhamdulillah selamat. ALLAH sayang kamu," tulis Mazini Razak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram