Tiada penularan wabak tibi di Cheras, tegas Pengarah Kesihatan negeri


  • Primer
  • Sabtu, 18 Nov 2023

Dr Nor'Aishah berkata, tiada satu pun kawasan di Cheras yang berada dalam status wabak tibi.

PENGARAH Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr Nor'Aishah Abu Bakar menafikan berlakunya penularan wabak tuberkulosis atau tibi di Cheras, Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan di media sosial mengenai kemungkinan wujudnya zon wabak penyakit itu di sebuah pangsapuri dekat kawasan tersebut.

"Dakwaan ini turut membabitkan beberapa lokasi di Kuala Lumpur, termasuk dekat Taman Pertama, Kampung Cheras Baru dan Fraser Business Park," katanya dalam satu kenyataan.

Ekoran daripada itu, beliau turut berkongsikan jumlah sebenar kes pada 2023 bagi kawasan tersebut bagi menjawab kegusaran orang ramai.

Jumlah insiden penyakit tersebut dilaporkan di Taman Pertama adalah sebanyak enam kes, Kampung Cheras Baru (lima) dan Pudu (30).

"Yang penting, tiada satu pun lokasi ini mempunyai status wabak," ujarnya.

Lokasi lain ialah Taman Pertama (10 kes), Kampung Cheras Baru (19), Taman Muda KL (22), Taman Lembah Maju (19), Taman Cahaya (15), Pudu (18) dan Fraser Business Park (15).

Secara keseluruhan, sebanyak 1,685 kes batuk kering dilaporkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya setakat 17 November lalu.

Jumlah itu terdiri daripada Cheras (387 kes dengan 278 masih dalam rawatan), Kepong (424 kes, 250 dalam rawatan), Lembah Pantai (424 kes, 218 dalam rawatan), Titiwangsa (399 kes, 212 dalam rawatan), dan Putrajaya (51 kes, 29 masih dalam rawatan). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram