[VIDEO] Guna kereta curi rempuh 3 kereta, suspek diburu pihak polis


  • Benua
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Tangkap layar kejadian kereta yang dicuri untuk merempuh beberapa kereta di Australia pada malam Khamis.

POLIS sedang memburu dua suspek yang didakwa melarikan diri selepas melakukan perlanggaran membabitkan beberapa kereta yang berlaku di Pantai Utara Sydney, New South Wales, Australia pada Khamis.

Suspek didakwa menggunakan kereta Mazda CX-V yang dipercayai dicuri sebelum merempuh kereta jenis Toyota RAV4 dan beberapa kereta lain di kawasan Rose Avenue, Wheeler Heights pada pukul 7:30 malam Khamis.

Penduduk berkata, mereka melihat dua lelaki melarikan diri selepas mendengar bunyi hentaman kuat yang memusnahkan tiga buah kereta di kawasan itu.

Pada masa itu, seorang lelaki, Brown yang tinggal di kawasan perumahan berlari ke balkoni selepas mendengar bunyi rempuhan kereta.

Kereta Toyota RAV4 terlibat dalam perlanggaran itu merupakan milik anaknya, Beverl Brown yang kini terpaksa ditarik oleh sebuah trak tunda meskipun kereta itu baru dibeli anaknya.

"Saya dan anak perempuan saya datang ke balkoni dan melihat keretanya dan kereta jiran sudah dirempuh," kata Brown.

Anjing pengesan telah dipanggil ke tempat kejadian dalam cubaan mencari suspek, tetapi mereka tidak berjaya.

Mazda, kereta yang digunakan suspek untuk merempuh dilaporkan dicuri dari sebuah rumah di Seaforth, Australia pada hari Rabu.

Kes masih berada dalam siasatan dan individu yang memiliki maklumat mengenai suspek diminta untuk menghubungi pihak polis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram