
AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah sepatutnya menghormati keputusan gabungan Perikatan Nasional (PN) berhubung pemilihan pucuk pimpinan Kerajaan Negeri Perlis.
Menurut sumber terdekat kerajaan negeri, tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri itu secara bersendirian mengeluarkan kenyataan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli tidak sewajarnya dilakukan sebagai seorang wakil rakyat.
"Sepatutnya fokus semua Adun adalah agenda rakyat yang melebihi agenda peribadi.
"Semua Adun PN yang menang kerusi di Perlis sangat memberi kerjasama kepada kepimpinan negeri yang dilantik dan terus berbincang agenda rakyat.
"Sepatutnya situasi ini disambut juga oleh Adun Kuala Perlis sebagai Pengerusi Bersatu (negeri). Apabila terlalu memikirkan politik dan kepentingan diri kehendak parti satu kerugian buat beliau," kata sumber itu kepada Majoriti.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (duduk, tengah) bersama tujuh Exco negeri pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis di Istana Arau pada Khamis.
Sumber tersebut turut menasihatkan Abu Bakar untuk memenangi hati kepimpinan Bersatu dan PN untuk menguatkan kedua-dua parti Bersatu dan PAS.
Pada Khamis, Abu Bakar mendakwa bahawa Mohd Shukri seolah-olah tidak menghormasti pemimpin sendiri kerana tidak mengendahkan surat sokongan yang diberi oleh Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau bertindak sedemikian selepas dirinya sekali lagi dinafikan pelantikan Exco dan digantikan dengan Adun Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak.
Namun, menurut sumber, perkara tersebut sudah diambil tindakan dan ia bagaimanapun dikatakan tidak akan menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti.
"Berkenaan surat itu, Menteri Besar sendiri akan berjumpa dan berbincang dengan Tan Sri Muhyiddin. Kalau bab hubungan antara parti pula, semua ahli Bersatu bersama Mohd Shukri kecuali Adun Kuala Perlis (Abu Bakar) sahaja," katanya.
Pada masa sama, dakwaan Abu Bakar berkenaan keciciran nama itu turut dinafikan oleh Menteri Besar kerana perubahan pelantikan dilakukan setiap tahun dan ia baru sesi kedua bagi proses pelantikan itu.
Malah, Mohd Shukri dikatakan akan membuat penilaian dan ada menyebut bahawa akan memberi peluang kepada semua pemimpin untuk merasa menjadi Exco.
"Tiada keciciran nama. Akan ada perubahan setiap barisan Exco bergantung kepada keadaan semasa.
"Menteri Besar ada sebut mahu beri semua pemimpin merasa jadi Exco tetapi tunggu masa dan tempohnya," kata sumber itu lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram