Calon langsung BN PRK Kemaman bakal kukuhkan Kerajaan Perpaduan


  • Politik
  • Selasa, 14 Nov 2023

Ahmad Zahid (tiga, kanan) ketika mengumumkan pencalonan Raja Mohamed Affandi (tiga, kiri) mewakili BN bagi PRK Kemaman, 2 Disember ini. — Bernama

BARISAN Nasional (BN) pada Isnin membuat kejutan selepas mengumumkan gabungan itu akan mempertaruhkan calon langsung bagi bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Tokoh yang ditampilkan bukan calang-calang.

Tugas merampas kembali kerusi yang pernah menjadi kubu kuat BN itu diletakkan di bahu Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Pengumuman nama besar itu menunjukkan keseriusan BN untuk kembali mendapatkan momentum bagi membina semula pengaruhnya yang dilihat semakin luntur di dalam politik Terengganu.

Ia selepas BN dilihat langsung gagal menyaingi PAS yang berjaya memenangi kesemua 32 kerusi dipertandingkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lalu, PAS juga menyapu bersih kesemua lapan kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Disebabkan itu, pemilihan tokoh seperti Raja Mohamed Affandi, 66, sebagai calon langsung BN dilihat memberi bayangan mengenai keazaman kuat gabungan itu untuk memenangi PRK berkenaan.

KUALA LUMPUR, 13 Nov -- Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berucap selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Dis ini pada majlis pengumuman di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.Raja Mohamed Affandi yang telah berkhidmat sebagai anggota tentera selama hampir 40 tahun, menyifatkan pencalonannya itu sebagai ‘panggilan tugas’, selain akan berusaha untuk membantu mengembalikan semula kerusi Parlimen berkenaan kepada BN.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bekas Panglima ATM, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. — Bernama

Ini bagi membolehkan ia mendapat kembali sekurang-kurangnya satu suntikan positif di Terengganu sementara menunggu PRU seterusnya.

Pada masa sama, kemenangan yang diperoleh itu juga dijangka bakal memberikan harapan baharu kepada Kerajaan Perpaduan dalam usahanya membina sokongan daripada pengundi Melayu.

Ini seterusnya membolehkan parti di dalam Kerajaan Perpaduan untuk tampil lebih yakin pada PRU seterusnya.

Sementara itu, menerusi kenyataannya sehari sebelum pengumuman calon, Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan meletakkan calon langsung bukanlah sesuatu perkara baharu dilaksanakan BN.

Ini kerana ia sudah pun dilakukan beberapa kali sebelum ini dengan langkah itu dilihat mampu memberi kejutan kepada pihak lawan dan membuka peluang kepada calonnya untuk menang.

Apatah lagi, persaingan di kerusi Parlimen Kemaman menyaksikan BN perlu mengatasi majoriti besar mencecah 65,714 undi yang diperoleh calon PAS, Che Alias Hamid pada PRU tahun lalu.

Calon langsung merupakan calon dipilih tanpa melihat kepada hierarki dan jawatan dalam parti.

Untuk rekod, strategi meletakkan calon langsung turut pernah dilaksanakan ketika PRK Parlimen Cameron Highlands 2019.

WhatsApp Image 2023-11-13 at 5.25.47 PM

Raja Mohamed Affandi menggalas tanggungjawab sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-19 bermula 2013 sehingga 2018.

Dalam persaingan tersebut, bekas pegawai polis yang juga keturunan Orang Asli, iaitu Datuk Ramli Mohd Noor ditampilkan oleh gabungan itu.

Pada waktu itu, Ramli yang kini memangku jawatan selaku Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berjaya meningkatkan majoriti kemenangan kepada 3,238 undi berbanding majoriti tipis 591 undi pada PRU sebelumnya.

Dengan mengambil kira senario tersebut, strategi meletakkan Raja Mohamed Affandi sebagai calon itu dilihat dilakukan bagi mengulangi skrip sama pernah berlaku di Cameron Highlands.

Meskipun beliau dijangka berdepan tugas agak sukar, ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

Ini kerana sebelum dirampas oleh PAS pada PRU14, Parlimen Kemaman sememangnya secara tradisinya menjadi kubu kuat BN.

Sebelum itu, sejak mula dipertandingkan pada 1959, kawasan berkenaan hanya pernah sekali jatuh ke tangan pembangkang iaitu pada PRU 1999 menerusi calon PKR, Abdul Rahman Yusof.

Selain itu, ketokohan dimiliki Raja Mohamed Affandi sebagai pegawai tertinggi pasukan ketenteraan negara tentunya menjadi elemen utama bagi meyakinkan pengundi di Kemaman yang majoritinya adalah Melayu.

Untuk rekod, anak kelahiran Besut, Terengganu ini mempunyai pengalaman khidmat bakti lebih 42 tahun bersama ATM.

Beliau yang juga memiliki darah keturunan diraja itu menggalas tanggungjawab sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-19 bermula 2013 sehingga 2018.

Di peringkat antarabangsa, Raja Mohamed Affandi turut mendapat pengiktirafan anugerah ketenteraan tertinggi Singapura apabila menerima Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera) pada 2018.

Selepas bersara daripada tentera, beliau yang mempunyai ijazah daripada University of New South Wales, Australia dan Quaid-i-Azam University, Pakistan juga memegang beberapa jawatan dalam bidang korporat.

WhatsApp Image 2023-11-13 at 5.26.21 PM

Presiden Singapura, Halimah Yacob (kiri) ketika menyampaikan Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera) kepada Raja Mohamed Affandi pada 2018. — Kerajaan Singapura

Antaranya adalah sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Pengerusi PETRA Diversified Systems and Technologies (DISTECH) yang merupakan syarikat penyedia teknologi pertahanan dan keselamatan.

PRK Parlimen Kemaman yang akan berlangsung pada 2 Disember depan diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15.

Pada 3 Oktober lalu, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman, yang membatalkan kemenangan parti itu.

Dalam pada itu, setakat Isnin, PAS menyatakan parti itu masih lagi belum memuktamadkan calon bakal bertanding di kerusi tersebut dalam PRK kali ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram