Langkawi terkena 'sumpahan' politik?


  • Politik
  • Isnin, 13 Nov 2023

Langkawi merupakan antara 10 destinasi pelancongan terbaik di dunia.

PULAU Langkawi di Kedah sememangnya terkenal sebagai salah satu daripada 10 destinasi pelancongan terbaik di dunia berdasarkan kepada keindahan ekosistem serta pemandangannya yang cukup indah.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kawasan indah itu dilihat sunyi sepi dan kurang mendapat sambutan daripada pelancong dalam negara mahupun luar negara.

Ada pihak menyalahkan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) terutamanya Pengerusinya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana dilihat seolah-olah tidak memberi sebarang penekanan untuk mencari solusi merancakkan semula pelancongan di situ.

Ini kerana Lada yang diperbadankan di bawah Akta Parlimen bertanggungjawab membangunkan Pulau Langkawi serta memajukannya sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Berbanding daerah kepulauan itu, pembangunan ekonomi Kedah daerah-daerah lain di tanah besar Kedah pula diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Bahkan, Langkawi tertakluk di bawah satu akta yang dikenali sebagai Akta 423, Akta Pembangunan Langkawi 1990.

Tidak menuding jari kepada Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, seorang pengguna Facebook, @MatSamanKati membuat hantaran panjang lebar menjelaskan situasi Langkawi ketika ini seolah-olah dibelenggu konflik politik negara.

Mat Saman Kati yang juga difahamkan merupakan seorang penduduk Langkawi berkata, hampir keseluruhan daripada Ahli Lembaga Pengarah Lada adalah dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk pengerusi bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perbadanan berkenaan.

Untuk rekod, semakan Majoriti di laman web Lada bagaimanapun mendapati jawatan itu tidak diisi dengan ia kali terakhir dipegang Nasaruddin Abdul Muttalib.

LADA Kosong

"Apabila kerajaan berubah, CEO berubah. Semasa Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan pada 2018, Dr. Hezri (Adnan) jadi CEO. Apabila Perikatan Nasional (PN) ambil alih, khidmat Dr. Hezri ditamatkan dan Nasaruddin jadi CEO.

"Apabila Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) (PH-BN) ambil alih, khidmat Nasaruddin ditamatkan bulan Mei lalu dan sampai sekarang masih kosong," tulisnya.

Pelaksanaan bagi meningkatkan pelancong ke Langkawi turut dilihat berdepan cabaran tersendiri apabila segala hal perlu mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan terlebih dahulu yang ketika ini disandang oleh Anwar sendiri.

"Kalau semua dalam Lada setuju tetapi Menteri Kewangan tidak setuju tetap tak dapat dilaksanakan. Tetapi, jika sebaliknya berlaku, tiada bantahan boleh dibuat," tulisnya.

Malah, Mat Saman Kati berkata, kerajaan negeri sama sekali tidak memperoleh hasil daripada hal terbabit meskipun Langkawi merupakan antara lokasi pilihan untuk pelancongan bagi pengunjung dari dalam mahupun luar negara.

"Setiap tahun sebelum wabak Covid-19, antara RM3 sehingga RM4 bilion masuk ke dalam kerajaan pusat dan negeri tidak menerima apa-apa pun.

"Mereka hanya boleh harapkan duit daripada hasil pungutan parkir dan duit cukai tanah. Itu pun habis ke perbelanjaan kutip sampah dan penjagaan alam sekitar," tulisnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram