BEKAS Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember ini.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Kemaman, di Menara Dato’ Onn dekat Kuala Lumpur pada Isnin.
Ahmad Zahid berkata, pemilihan Raja Mohamed Affandi, 66, setelah mendapat persetujuan daripada seluruh peringkat kepimpinan Umno dan BN, untuk memberi peluang kepada calon langsung itu bagi merebut semula kerusi Parlimen berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini, manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 dan 28 November depan.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.
Pada 3 Oktober lepas, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman, yang membatalkan kemenangan parti itu.
Sementara itu, Raja Mohamed Affandi yang telah berkhidmat sebagai anggota tentera selama hampir 40 tahun, menyifatkan pencalonannya itu sebagai ‘panggilan tugas’, selain akan berusaha untuk membantu mengembalikan semula kerusi Parlimen berkenaan kepada BN.
"Saya berfikir panjang apabila diberikan tawaran ini...saya rasa sudah sampai masanya untuk saya berikan balik apa yang ada pada saya sepanjang 40 tahun ini kepada negara kita, dan khususnya bagi Kemaman.
"Saya ingin ucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kepercayaan diberikan ini. Ia nilai yang sangat tinggi dan saya akan berusaha untuk memastikan kepercayaan itu saya bayar balik,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Pencalonan Raja Mohamed Affandi sebagai calon langsung bukan kali pertama dilakukan oleh BN, sebaliknya pernah meletakkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor sebagai calon langsung bagi PRK Parlimen Cameron Highlands. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram