BEKAS Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek percaya Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan pada 2 Disember depan.
Beliau yang turut pernah menyandang kerusi tersebut selama tiga penggal sebelum ini berkata, sentimen terhadap gabungan itu di kawasan tersebut didapati semakin baik berbanding ketika dua Pilihan Raya Umum (PRU) terakhir.
"Bagi saya, asasnya Kemaman itu kubu kuat, tetapi kalah kerana naratif propaganda yang begitu besar pada 2018 terhadap 'Bossku' (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan janji-janji dibuat terhadap lawan BN.
"Dan ini berlalu sekali lagi pada 2022 dalam PRU baru-baru ini. Ada isu mengenai pergolakan berlaku dalam BN yang menyebabkan mereka beralih.
"Tapi saya rasa keadaan sangat pulih sekarang. Keadaan sudah berbeza, banyak pandangan terlalu negatif kepada BN sudah berubah," ujarnya ketika ditemui Majoriti pada Khamis.
Pada PRU15, BN tewas besar apabila calon PAS, Che Alias Hamid berjaya mempertahankan kerusi tersebut buat dua penggal kedua dengan majoriti sebanyak 65,714 undi.
Pada PRU15, BN tewas besar apabila calon PAS, Che Alias berjaya mempertahankan kerusi tersebut buat dua penggal kedua dengan majoriti sebanyak 65,714 undi.
Bagaimanapun, Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu membatalkan kemenangan tersebut selepas membenarkan petisyen pilihan raya oleh calon BN, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.
Hakim Anselm Charles menerima dakwaan pempetisyen bahawa terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang telah diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15 untuk meraih undi kepada Che Alias.
Pada 23 Oktober lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu akan meletakkan anak kelahiran Kemaman, Terengganu bagi bersaing merebut kembali kerusi di Parlimen Kemaman.
Katanya, BN akan memilih calon yang mempunyai ketokohan di peringkat nasional dan di peringkat negeri.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Ahmad Shabery yang juga kini memegang jawatan selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menolak kemungkinan beliau akan dipilih untuk dicalonkan di PRK berkenaan.
"Bukan saya, saya dah tua," ujarnya yang kini berusia 64 tahun.
Pada PRU14, Ahmad Shabery yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani gagal untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman buat kali keempat berturut-turut selepas tewas di tangan Che Alias yang menang dengan majoriti 2,163 undi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram