[VIDEO] Rompak kedai piza guna paip besi dan pistol, polis buru 4 penjenayah hoodie naik kereta mewah


  • Benua
  • Sabtu, 11 Nov 2023

Tangkap layar kejadian rompakan di kedai piza yang terjadi pada Khamis lalu.

EMPAT penjenayah diburu pihak polis selepas melakukan rompakan di Bally's Pizza yang terletak di Mascher Street, Philadelphia, Amerika Syarikat sekitar pukul 12:30 pagi Khamis lalu.

Polis Philadelphia berkata, kegiatan jenayah itu dilakukan dalam tempoh yang singkat dan suspek masih belum dapat ditahan.

Pihak berkuasa memaklumkan, pada masa kejadian, seorang pekerja kedai sedang memasukkan barangan ke dalam kereta.

Secara tiba-tiba, empat suspek yang dua daripadanya bersenjatakan paip besi dan pistol menyerbu kawasan itu dan memaksa pekerja terbabit untuk masuk semula ke dalam kedai.

Pemilik kedai piza, Nick Cavilas berkata, suspek melompat ke dalam kawasan kaunter dengan mengacukan pistol dan mengugutnya untuk memberikan wang yang banyak.

"Bagi saya duit, lebih, lebih banyak duit," Nick mengajuk kata-kata perompak kepadanya.

Suspek dikatakan berjaya mengambil sebanyak AS$3,000 (RM14,077) daripada mesin tunai sebelum melarikan diri.

Selang beberapa jam selepas itu, kesemua suspek yang sama juga dipercayai menyamun seorang lagi mangsa di perhentian bas yang terletak hanya beberapa blok dari kedai piza terbabit.

Pada masa itu, seorang lelaki didatangi dua suspek bersenjata ketika menunggu bas di Front Street dan Wyoming Avenue di Feltonville.

Polis berkata, suspek berjaya mendapatkan maklumat bank bagi mengambil duit mangsa, selain berjaya melarikan telefon, jam tangan Apple Watch dan Airpods.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan, suspek menggunakan dua kenderaan berupa Mercedes-Benz C Class berwarna putih dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) GMC Acadia ketika melakukan kegiatan rompakan.

Polis Philadelphia masih mengesan empat suspek berhubung insiden itu.

Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Unit Mangsa Khas Polis Philadelphia di talian 215-685-3251. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram